iklan raya tnb 2018 : ‘Power Gila’!

Kalau tahun lalu Tenaga Nasional Berhad (TNB) muncul dengan iklan raya yang memberi impak besar kepada penonton menerusi ‘Dugaan Raya Aida’, kali ini syarikat itu mengekalkan momentum sama apabila melancarkan iklan raya 2018 – yang memang tidak mengecewakan!

Sepertima mana slogan mereka, “Better.Brighter”, iklan raya tahun ini bertajuk “Rumah Epik Fantastik” yang dilancarkan semalam (Selasa) juga dilihat menjanjikan sinar harapan kepada para penonton untuk mengambil contoh daripada mesej di sebalik video tersebut.

Video berdurasi empat minit 7 saat itu, yang dimuat naik di laman YouTube TENAGAofficial dan Facebook TNB Careline sejak 22 jam lalu masing-masing sudah mencecah tontonan lebih 77,600  dan 870,000 kali.

Menerusi “Rumah Epik Fantastik”, penonton akan dibawa menggembara dan merasai suasana beraya di kampung, yang mungkin tidak semua dalam kalangan kita dapat merasainya, selain menggambarkan peristiwa-peristiwa yang berlaku di rumah keluarga Melayu apabila sambutan Hari Raya semakin hampir.

Ia mengisahkan tentang seorang remaja lelaki bernama Arif – yang merasakan ketibaan Hari Raya sebagai “masa yang menceroboh privasinya” kerana kehadiran saudara mara.

Namun, kebaikan watak Arif ditekankan menerusi sikap toleransi dan rajin dalam membantu neneknya membuat persiapan Aidilfitri.

Walaupun Arif kadang-kadang dilihat rimas dan stres kerana rumah neneknya dipenuhi oleh saudara maranya yang terdiri daripada 10 keluarga, namun dalam keriuhan ahli keluarga yang besar di bawah satu bumbung, mereka akhirnya berkongsi kegembiraan kerana segalanya berjalan lancar hasil tolak ansur, rasa hormat antara satu sama lain, kesabaran dan kerjasama penuh daripada seluruh ahli keluarga.

“Walaupun mencabar, bila ramai-ramai, seronok sebenarnya. Bila asyik berlaga bahu, lagi meriah raya…

“Bukan rumah yang ajaib, tapi keluarga saya,” kata Arif dipetik dalam video tersebut.

Ketua Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman dalam kenyataan media semalam berkata, mesej yang disampaikan melalui plot iklan kali ini bukan sahaja khusus untuk umat Islam yang menyambut Hari Raya, malah untuk seluruh rakyat Malaysia.

“Saya percaya setiap rakyat Malaysia sudah biasa dengan pengorbanan yang perlu kita lakukan apabila pulang ke kampung, sama ada untuk Hari Raya Aidilfitri atau perayaan lain.

“Oleh itu, saya berharap semua orang dapat meneruskan warisan ibu bapa dan nenek moyang kita dengan saling bekerjasama tanpa mengira keadaan atau apa jua perbezaan,” katanya.

Iklan tersebut dijadualkan disiarkan di rangkaian televisyen bermula 11 Jun ini, namun video penuh “Rumah Epik Fantastik” sudah boleh ditonton di laman Youtube TENAGAofficial dan Facebook bermula semalam.

Sementara semakan di ruangan komen Youtube TENAGAofficial dan Facebook TNB Careline, rata-rata netizen memuji iklan raya tersebut dan mengatakan penghasilan video raya oleh TNB tidak pernah mengecewakan.

Tidak dilupakan, syabas kepada Reservoir Production (RP) kerana sekali lagi menghasilkan karya yang cukup hebat dan ‘awesome’ ini. Iklan “Rumah Epik Fantastik” adalah arahan Pengarah, Quek Shio Chuan. Jom tonton video di bawah:

 

Sumber: malaysiandigest.com

Loading...

Leave a Reply