Siti tunai janji papar wajah anak

[DIKEMASKINI] PENYANYI kesayangan ramai, Datuk Seri Siti Nurhaliza menunaikan janji dengan memaparkan wajah puterinya di Instagram milik beliau sebentar tadi.

Malam ini Siti dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa akan mengumumkan nama anak mereka itu.

“Bismillahirrohmanirrohim, saya dan suami ingin memperkenalkan anakanda kami kepada semua yang menanti-nantikan detik ini.

“Hari ini adalah hari ketujuh usia kelahiran anakanda kami yang kami namakan dengan gelaran Fatimah Az-Zahra selama seminggu ini.

“Inilah penyejuk hati, anugerah ILAHI, anakanda yang melengkapkan kehidupan kami,” katanya.

Pada 19 Mac lalu, Siti selamat melahirkan bayi perempuan di sebuah pusat perubatan di ibu kota.

Pengurusnya, Rozi Abdul Razak berkata, Siti  melahirkan bayi seberat 3.55 kilogram itu secara pembedahan pada kira-kira jam 8.17 pagi.

Sementara itu, menerusi perkongsian sama, Siti berkata suaminya bakal mengumumkan nama sebenar anak mereka yang bermula dengan Siti A.

“Insya-ALLAH, pada malam ini suami saya akan mengumumkan nama sebenar anakanda kami dan boleh ditonton secara langsung menerusi YouTube Siti Official Video bermula 9 malam.

“Kami akan mengadakan majlis maulid nabi, aqiqah dan tahnik pada malam ini.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kami selama ini dan hanya ALLAH saja yang mampu membalas jasa baik kalian. Semoga ALLAH merahmati kita semua,” katanya.

 Sumber: Sinar
Loading...

Leave a Reply