Siti Nurhaliza tiada dokumen diri, status kewarganegaraan samar-samar

KOTA BHARU – Impian dua beradik mahu ke sekolah seperti rakan sebaya lain terpaksa dipendam begitu sahaja dek status warganegaraan mereka yang samar-samar.

Anak keempat daripada lima beradik, Darmawani Ropi, 16, memiliki Sijil Kelahiran berwarna merah dari Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia, namun tidak dituliskan binti nama bapanya, manakala satus kewarganeraannya pula kosong.

Adik bongsunya pula, Siti Nurhaliza Ropi, 9, hanya mampu memberitahu nama melalui akuan mulut kerana langsung tidak mempunyai apa-apa rekod kelahiran.

Siti Nurhaliza tiada dokumen diri, status kewarganegaraan samar-samar

Siti Nurhaliza tiada dokumen diri, status kewarganegaraan samar-samar

Mereka daripada lima beradik  mendakwa dilahirkan di Dabong, Kuala Krai dan kini menetap di Kampung Pasir Pekan Tengah, Tumpat.

Bukan itu sahaja, bahkan kakak sulung mereka, Darni, 24, juga mempunyai Sijil Kelahiran berwarna merah, namun status kewarganegaraan pada sijil itu ditulis, belum ditentukan.

Darni berkata, adik lelakinya yang kedua, Mat Rowi, 22, juga langsung tidak mempunyai pengenalan diri, sementara adik lelaki ketiga, Mohamad Roni, 21, hanya mempunyai Surat Beranak lama dengan status kewarganegaraan bertulis tiada.

Katanya, ibu bapa mereka, Rapeah Abdullah, 47, dan Ropi Che Him, 50, berasal dari Thailand dan memasuki ke negara ini kira-kira 32 tahun lalu iaitu sejak berusia 15 tahun serta bekerja sebagai penoreh getah.

“Ibu bapa juga tidak mempunyai pengenalan diri dan status mereka dalam surat beranak kami ditulis tidak dapat dipastikan.

“Ketika kanak-kanak dahulu, kami bertiga, saya, Rowi dan Roni bersekolah di sebuah sekolah agama kerajaan negeri di Dabong dan berada dalam kelas yang sama dari darjah satu hingga darjah tiga,” katanya.

Menurutnya, mereka selepas itu behenti persekolahan kerana kekangan kewangan dan kesulitan menyambung ke peringkat yang lebih tinggi dek masalah status serta identiti.

“Paling kesian, adik saya, Darmawani dan Siti Nurhaliza, sebab mereka pernah memberitahu hendak belajar dan ke sekolah seperti rakan lain, tetapi sangat sedih sebab saya sebagai kakak sulung mereka tidak mampu berbuat apa-apa.

“Bukan kami tidak berusaha, sudah cuba macam-macam cara, tapi perkara ini memang saya akui sukar dan memberi kesan kepada masa depan kami adik-beradik,” katanya.

Darni berkata, dia dan keluarganya sudah habis puluhan ribu ringgit yang dilaburkan demi mengesahkan status mereka lima beradik, malangnya masih menemui jalan buntu.

“Saya sendiri Alhamdulillah dapat juga berkahwin dengan segala proses menggunakan Sijil Kelahiran dan baru bersalin walaupun susah payah naik turun pejabat kerana hal ini, tetapi tetap susah hendak ke mana-mana atau berurusan dengan mana-mana pihak.

“Adik saya Rawi, kadang ingat, kadang tidak ingat umur dia apatah lagi hendak sambut hari lahir pun sudah lupa tarikhnya sebab tiada pengenalan langsung. Ada kalanya kami ketakutan  sebab Roni pernah ditahan polis.

“Kami sudah habis daya dan harap sangat ada pihak yang sudi bantu kami untuk memiliki kad pengenalan masing-masing sekaligus adik-adik saya dapat bersekolah dan kami dapat teruskan kehidupan dengan lebih baik,” katanya.

 Sumber: Sinar
Loading...

Leave a Reply