[Video] Lelaki angkut motor atas bahu dari darat ke feri

ORANGNYA bertubuh kurus, namun lelaki ini digelar lelaki terkuat di Bali selepas gambar dan videonya memikul motosikal di bahu menjadi tular di laman sosial.

Nyoman Kalor, 45, yang memikul motosikal sambil berjalan pantas sehingga ke feri bukan sahaja mendapat liputan luas media tempatan malah turut menjadi sensasi di seluruh dunia.

Lapor Tribunnews, bapa kepada tiga anak itu mencari rezeki sebagai pengangkat berang di kawasan Sanur sejak 10 tahun lalu dan mampu mengangkat bebanan lebih 100 kilogram.

“Pada awalnya saya hanya mencuba mengangkat motosikal tetapi saya mula belajar untuk menjaga keseimbangan beban motosikal dan melihat situasi ombak.

“Keseimbangan dan keadaan ombak adalah kunci utama untuk mengangkat beban yang berat itu,” katanya yang dipetik portal berkenaan.

Menurutnya, selepas beberapa tahun akhirnya dia sudah biasa mengangkat motosikal dan dia adalah satu-satunya tukang angkat barang di Bali yang mampu berbuat demikian.

Nyoman sekurang-kurangnya akan mengangkat dua hingga empat motosikal dalam sehari.

Dalam pada itu, Nyoman memberitahu, dia tidak menetapkan bayaran tetapi biasanya pelanggan membayar Rp50,000 (RM14) hingga Rp100,000 (RM29) untuk setiap motosikal yang diangkatnya.

“Saya tidak mahu menetapkan harga atau meminta bayaran yang lebih, kasihan mereka,” katanya.

Biarpun pekerjaannya itu dilihat sukar, dia dikatakan mampu hidup selesa dan tidak mempunyai masalah untuk membiayai pelajaran tiga orang anaknya termasuk seorang yang menuntut di universiti.

Sumber: MYNEWSHUB.CC

 

 

Loading...

Leave a Reply