Kenapa 4G di Malaysia lembab? antara terlembab di kalangan 88 negara

Fahmi Fadzil

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil mempersoalkan mengapa tahap internet di Malaysia tidak setanding negara lain.

Katanya, perkara ini harus dijawab oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Menurutnya, pakar pemetaan liputan tanpa wayar OpenSignal mengeluarkan laporan The State of LTE, menyatakan purata kelajuan 4G di Malaysia adalah 14.83 megabit per saat (Mbps) dan merupakan kelajuan antara terendah dalam kalangan 88 negara yang dikaji.

“Laporan itu menyatakan kelajuan talian 4G di Malaysia jauh di belakang negara-negara jiran, Singapura (purata kelajuan 44.32 Mbps), Vietnam (21.49 Mbps), Brunei (17.48 Mbps) dan Myanmar (15.56 Mbps).

“Jika benar, ini bukan satu rekod atau pencapaian membanggakan. Ketika Malaysia mempunyai kadar penembusan 4G hampir 75 peratus, kelajuan 4G di negara ini amat mendukacitakan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Justeru, beliau menggesa Salleh segera memberikan penjelasan mengapa rangkaian jalur lebar 4G di negara ini lebih perlahan.

“Apakah yang akan dilakukan pihak kerajaan untuk menjamin peningkatan kelajuan perkhidmatan 4G bagi pengguna di negara ini.

“Pengguna perkhidmatan 4G di Malaysia sepatutnya menikmati kelajuan jauh lebih baik berbanding apa yang ada sekarang.

“Kerajaan perlu segera tangani isu kelajuan ini untuk memastikan infrastruktur internet tanpa wayar di negara ini dipertingkatkan seiring dengan niat memanfaatkan sepenuhnya Revolusi Perindustrian 4.0,” katanya.

 

Sumber: Sinar Harian

Loading...

Leave a Reply