“Saya sudah biasa dikecam netizen. Pekakkan telinga dan berdiam diri saja… Itu lebih baik” – Jawapan Adira bila digelar perampas

Penyanyi, Adira Suhaimi, memilih untuk memekakkan telinga dan berdiam diri walaupun di luar sana masih banyak pihak mengecam keputusannya untuk hidup bermadu.

Beliau amat memahami, memegang status isteri kedua dan berdepan persepsi peminat bukan sesuatu yang mudah dihadapi oleh golongan artis seperti dirinya.

Apatah lagi, netizen pantas menghukum kononnya isteri kedua ialah perampas dan peragut kebahagiaan insan lain.

Nama penyanyi berusia 26 tahun ini kembali hangat diperkatakan beliau digandingkan bersama pelakon sensasi, Izreen Azminda, yang turut memegang status isteri kedua, sebagai penghias muka depan sebuah majalah, baru-baru ini. Tanpa semena-mena, gandingan mereka mencetuskan polemik di laman sosial.

“Saya sudah biasa dikecam netizen sejak dulu lagi. Apa yang saya buat, pekakkan telinga dan berdiam diri saja… Itu lebih baik.

“Lumrah dalam masyarakat Melayu, menjadi isteri kedua sering dipandang serong dan dianggap perampas. Mereka tidak pernah tahu apa yang kami lalui, malah orang luar tidak akan faham hati dan perasaan kami,” katanya.

Penyanyi berasal dari Ranau, Sabah ini turut menasihati Izreen supaya bersabar dan tidak mengambil serius kritikan negatif netizen.

Menganggap gosip boleh dikawal jika tidak dilayan, Adira percaya, lama-kelamaan pihak berkenaan akan menutup mulut dan melupakan isu itu.

“Bukan cara saya membalas komen netizen. Saya lebih suka berdiam diri. Memang saya turut terpalit dengan tajuk muka depan majalah itu, tetapi saya tidak kisah. Saya tahu masyarakat Malaysia begitu sensitif dalam hal ini,” katanya.

Adira mendirikan rumah tangga dengan Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali dengan panggilan Datuk Red, 40, pada 2015. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata diberi nama Anggrek, 11 bulan.

Tidak kisah dipanggil apa saja, Adira menganggap cerita negatif juga ada kebaikannya.

Sementara itu, agak lama menyepi daripada dunia muzik, Adira mahu ‘menjual’ kembali bakatnya dengan kemunculan single baharu, Sembunyi.

“Saya mahu fokus kepada kerjaya seni. Biarlah dengan mulut netizen kerana saya sudah melaluinya sejak dulu lagi. Selagi saya mendapat sokongan dan tiada isu membabitkan nama keluarga, saya tidak perlu melenting,” katanya.

Menyentuh mengenai single ciptaan Alif Sleeq itu, Adira yang ditemui pada majlis pelancaran video karaoke artis di bawah Rocketfuel Entertainment di ibu negara, baru-baru ini berkata, lagu itu digubah mengikut aliran terkini.

“Sebelum saya memutuskan untuk merakamkan lagu ini, ada juga beberapa karya lain yang diterima. Tetapi, saya lebih tertarik dengan lirik dan melodi Sembunyi, yang dilihat memberi nafas baharu kepada saya,” katanya.

 

Sumber: BH Online

Loading...

Leave a Reply