Identiti pelancong hantar surat kritik pakaian pramugari Malaysia terlalu seksi diragui

SURAT seorang pelancong dari New Zealand yang berpandangan uniform kru kabin syarikat penerbangan AirAsia terlalu seksi dan menjolok mata tular di laman sosial sejak minggu lepas, selain mendapat liputan meluas media antarabangsa.

Terkini, timbul satu persoalan baharu berhubung surat tersebut apabila beberapa portal dari negara itu sendiri membuat laporan mempertikaikan ketulenan surat berkenaan.

Laporan penyiasatanWhaleoil  mendedahkan bahawa teguran warga New Zealand berkenaan, Dr June Robertson, yang ‘jijik’ dengan pakaian kru kabin tersebut semakin mencurigakan selepas siasatan terhadap nama dan tempat tinggalnya menimbulkan tanda tanya.

Ia sekali gus menyebabkan kewujudan Dr June Robertson diragui!

Selain itu, rata-rata netizen meninggalkan komen dan mempersoalkan sama ada penulis surat itu merupakan seorang penutur asal bahasa Inggeris kerana terdapat beberapa kesalahan tatabahasa dalam surat tersebut.

Netizen turut mempertikaikan kesalahan bahasa yang mereka anggap tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang doktor.

Selepas pemeriksaan, nama June Robertson juga didapati tidak didaftarkan di bawah Lembaga Perubatan di kawasan Wellington.

“Tidak ada June Robertson yang berdaftar dengan Majlis Perubatan di kawasan Wellington.

“Walau bagaimanapun, terdapat June Robertson yang didaftarkan sebagai tinggal di alamat dalam surat itu. Tiada siapa berada di rumah ketika Herald melawat alamatnya,” lapor nzherald, Isnin.

Surat yang didakwa ditulis oleh individu bernama Dr June Robertson.

Satu permohonan telah dihantar ke perkhidmatan kesihatan DHB Capital & Coast bagi menentukan sama ada June Robertson bekerja dengan mereka, namun dalam satu kenyataan, pihak tersebut enggan menjawab pertanyaan itu.

“Kami tidak mengesahkan atau menafikan bahawa orang ini adalah seorang pekerja DHB Capital & Coast.

“Mendedahkan maklumat orang lain adalah melanggar privasi pekerja kami secara amnya, dan tiada kepentingan awam yang mengatasi kepentingan privasi pekerja kami sebagai satu kumpulan,” kata kenyataan itu.

Siasatan oleh Whaleoil juga mendapati terdapat individu bernama J Robertson dikaitkan dengan alamat yang ditunjukkan dalam surat tersebut pada 2007, tapi huruf J itu merujuk kepada James Robertson. Kediaman itu bagaimanapun sudah dijual pada 2001.

Sekali pun James Robertson masih menetap di rumah tersebut dan terdapat individu bernama James Robertson yang juga bekerja di Capital & Coast Health, namun dia adalah seorang pakar jururawat klinikal dan bukannya seorang doktor, apatah lagi seorang perempuan.

Berdasarkan pemeriksaan di LinkedIn, nama Dr Robertson wujud, tetapi profilnya sangat terhad.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Hanafi Mamat, minggu lalu, mendakwa menerima sepucuk surat daripada seorang wanita warga New Zealand, Dr June Robertson.

Dalam surat tersebut, Dr June Robertson meluahkan rasa kesal melihat skirt yang dipakai pramugari penerbangan dari Malaysia yang dinaiki, yang dikatakan terlalu pendek.

Dia turut berkongsi pengalaman tidak selesanya ketika berdepan dengan pramugari syarikat berkenaan sepanjang penerbangan.

“Kami sayangkan negara anda, saya berhenti di KL ketika dalam perjalanan menuju ke Eropah dan tinggal di Hotel Sama Sama di KLIA.

“Saya rasa sangat terhina melihat skirt yang terlalu singkat dipakai wanita ini (pramugari Malaysia). Kabin kru dari Eropah, NZ, Australia atau American Airlines tidak memakai skirt pendek sebegini.

“Saya sendiri berasa ia sangat jijik kerana tidak semua orang suka hal ini. Salah seorang pramugari dari AirAsia menunduk di pusat beli-belah di KLIA2 dan jelas ternampak seluar dalamnya, teruk betul!.

“Dalam penerbangan AirAsia dari Auckland ke KL pada Oktober lalu, pramugari yang layan kami di kelas bisnes membiarkan baju di bahagian atas terbuka dan saya dapat lihat bahagian payudaranya.

“Saya meminta dia menutup jaketnya kerana dia sedang menunduk ke arah kami,” tulis Dr June Robertson yang memaklumkan sering berulang-alik ke Malaysia atas pelbagai urusan.

Sumber: Mstar

Loading...

Leave a Reply