“Watak ibu banyak diberi kepada artis 40an, artis veteran sekarang watak mak-mak pun tak dapat” – Kak Limah dah penat

Saat segelintir rakan seangkatan kurang mendapat tawaran, Delimawati Ismail yang terkenal dengan watak Kak Limah dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah bersyukur masih diberi peluang berlakon.

“Nak kata industri masa ini adil atau tidak dengan generasi saya, rasanya ramai pelakon sezaman saya sudah tidak lagi bekerja dan tenggelam.

"Watak ibu banyak diberi kepada artis 40an, artis veteran sekarang watak mak-mak pun tak dapat" - Kak Limah dah penat

“Watak ibu banyak diberi kepada artis 40an, artis veteran sekarang watak mak-mak pun tak dapat” – Kak Limah dah penat

“Saya bersyukur sebab orang masih ingat dan sudi menawarkan kerja,” katanya yang memulakan langkah sebagai pelakon selepas diperkenalkan pengarah Mat London pada 1987.

Tiga dekad berada dalam dunia hiburan, Delimawati akui situasinya jauh berbeza, terutama soal tawaran dan bayaran.

Katanya, watak ibu kepada anak berusia 20-an kini sudah banyak diberikan kepada artis berumur 40-an. Pada usia itu, dia berpendapat intonasi suara adalah berbeza.

Jika watak itu dipegang pelakon muda, ia tidak sesuai kerana penyampaiannya tidak kelihatan jujur serta realistik.

Ia berbeza sekiranya watak itu dipegang pelakon berusia 50-an atau 60-an kerana penyampaian, intonasi serta perasaannya lebih realistik.

“Tapi dah stesen TV mahu seperti itu, kami yang sepatutnya pegang watak ‘mak-mak’ sudah ditolak ke tepi. Mungkin sebab nak ikut gaya drama dari luar negara, situasi ini berlaku.

“Saya sentiasa dapat komen daripada peminat yang kecewa kerana nampak tidak sesuai apabila watak mak masih berwajah tegang sama seperti anak, dah nampak sebaya,” katanya.

Tanpa berselindung, pelakon yang turut dikenali dengan watak Cik Kiah melalui telefilem popular Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel 20 tahun lalu, terkesan dengan situasi itu.

Katanya, selain watak tidak sesuai, bayaran yang ditawarkan tidak setimpal dengan kerja.

Menurutnya, pahit untuk ditelan, namun itulah hakikat yang terpaksa dilalui ramai pelakon veteran.

Apabila menyuarakan hal berkaitan bayaran yang dianggap tidak berbaloi, kebanyakan produksi akan terus mendiamkan diri.

Dia tidak kesah jika tawaran itu bukan rezekinya cuma memohon pihak terbabit untuk tidak menyepi selepas memberi tawaran dan mahu membatalkannya.

“Selalunya bila beritahu harga kita, terus senyap. Sekurang-kurangnya maklumkan semula, jadi atau tidak, sebab mungkin ada tawaran lain yang terpaksa ditolak pada tempoh itu.

“Pada era 1980-an dan 1990-an, bayaran tidak seteruk ini. Bagaimanapun tidak semua produksi bersikap sedemikian. Ada juga yang bertolak ansur dengan jadual penggambaran dan bayaran pun setimpal,” katanya.

Dia turut bersimpati dengan nasib pelakon veteran seperti Wan Maimunah dan Norlia Ghani yang pernah menyuarakan pengalaman mereka dilayan tidak adil oleh segelintir produksi tempatan.

“Macam kami, kalau tak ambil, nanti orang lain pula akan ambil. Soal bayaran ramai yang tidak sepakat. Kalau pelakon berpengalaman letak harga yang wajar, produksi akan cari orang lain yang lebih murah.

“Tapi ada juga produksi yang tahu nilai kita dan tidak berkira untuk menawarkan watak sesuai,” katanya.

Penat pegang watak hantu

Tanpa berselindung, Delimawati mengakui penat asyik diberikan watak seram selain dalam set filem Hantu Kak Limah Balik Rumah.

“Masa buat Hantu Kak Limah Balik Rumah memang penat sebab ada babak yang perlu beraksi. Penat kerja dari pagi sampai ke pagi esok kerana babak pada watak malam.

“Tak cukup rehat, sehingga pernah rasa macam berjalan atas angin sebab tak cukup tidur. Namun, saya seronok di lokasi meski penat kerana dapat jumpa geng lama,” katanya ketawa.

Sambung Delimawati, mungkin tubuhnya tidak sekuat dulu lagi. Dia menyamakan dirinya dengan enjin kereta lama yang tidak lagi mampu berjalan jauh.

Katanya, andai masih ada permintaan, dia tidak akan menolak waima sekadar muncul dalam dua tiga babak sahaja.

Baginya, rezeki tidak boleh ditolak kerana ia boleh mengundang persepsi lain kepada produksi.

“Bukan kata tidak mahu, cuma apabila sudah letih tubuh badan, lain pula difikirkan. Kalau tolak rezeki, nanti Tuhan marah,” katanya.

Mungkin kerana sikap profesional yang sering ditunjukkan, Delimawati diberi pula peluang memegang watak utama dalam sitkom terbaru berjudul Mamu Mami Gosip terbitan FS Creative Sdn Bhd milik Fasha Sandha.

Berkongsi perkara itu, Delimawati ditawarkan Fasha ketika menjalani penggambaran drama Syurga Ke Dua tahun lalu.

“Saya tidak pernah buat sitkom tapi oleh sebab Fasha bagi kepercayaan, saya terima. Hari pertama keliru dan penat sebab kali pertama pegang watak utama dan berlakon sitkom.

“Tapi apabila masuk hari ketiga, baru dapat rentak dan segala rasa letih hilang. Dapat pula berganding dengan Kazar, semuanya jadi senang,” katanya yang memegang watak Cik Kuntum.

Sitkom 50 episod yang dijangka ditayangkan pada pertengahan tahun ini turut dijayakan Tauke Jambu, Elisya Sandha, Afifah Nasir, Fikhree Bakar dan Fasha sendiri.

Sumber: Metro

Loading...

Leave a Reply