Farid Kamil berdepan banyak pertuduhan

Polis tidak menolak kemungkinan pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari bakal berhadapan lebih banyak pertuduhan selain tindakannya menampar seorang anggota polis di Balai Polis Kota Damansara, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, sebarang pertuduhan yang bakal dikenakan terhadap Farid Kamil akan ditentukan selepas polis selesai menjalankan siasatan.

“Suspek kini direman untuk disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis dan Seksyen 3 (1) Akta Dadah Ber­bahaya 1952 se­te­lah disyaki me­ngambil dadah.

“Selain tampar polis, suspek telah menendang orang ramai dalam kejadian itu dan mangsa pun telah membuat laporan polis selepas insiden berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas Pegawai dan Pembantu Keselamatan Penerbangan di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Semalam, Farid Kamil disyaki positif dadah jenis ganja selepas ditahan berikutan menampar anggota polis dan menendang orang ramai dalam kejadian di Balai Polis Kota Damansara.

Pada masa sama, Mazlan mengingatkan masyarakat termasuk para selebriti yang menerima darjah kebesaran untuk menjaga tingkah laku di balai polis dengan mengelakkan berkelakuan tidak senonoh.

Ujarnya, sebagai orang dikenali, mereka seharusnya menjadi contoh terbaik kepada orang ramai.

“Individu yang dikurniakan darjah tertinggi sepatutnya perlu menjaga status mereka dan tidak me­lakukan sebarang perbuatan yang boleh mengundang cemuhan.

“Kes seperti ini bukan pertama kali berlaku dan kita akan mengambil tindakan ke atas mereka yang berkelakuan tidak senonoh walaupun berpangkat tinggi,” katanya.

Sumber: Utusan

Loading...

Leave a Reply