Lelaki mati dijerut pasangan gay di hotel bajet

SEORANG lelaki mati disyaki dibunuh pasangan sejenisnya di sebuah bilik hotel bajet dekat Taman Mount Austin, Johor Bahru, sebelum mayatnya ditemui, pagi semalam.

Mayat lelaki berusia 30 tahun itu ditemui dalam bilik hotel berkenaan pada 7.18 pagi.

Lelaki mati dijerut pasangan gay di hotel bajet

Lelaki mati dijerut pasangan gay di hotel bajet

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, dua lelaki ditahan selepas bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat mengesahkan punca kematiannya adalah disebabkan jerutan pada leher.

“Pada pagi semalam, polis menerima panggilan kecemasan yang memaklumkan penemuan mayat di bilik hotel berkenaan.

“Siasatan mendapati tempat kejadian adalah di tingkat satu hotel yang mana bilik itu disewa seorang lelaki berusia 49 tahun. Lelaki itu turut menyewa sebuah bilik lain.

“Semakan awal di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah berlaku dan beranggapan kes adalah kematian mengejut (SDR). Namun, selepas bedah siasat dilakukan, pihak hospital menemui unsur jenayah,” katanya.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat berkenaan, pihaknya menahan dua lelaki masing-masing berusia 49 dan 36 tahun di perkarangan Balai Polis Taman Setia Indah untuk siasatan lanjut.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek pertama iaitu lelaki berusia 49 tahun mendaftar masuk di hotel berkenaan pada 4.50 petang, Jumaat lalu dan menginap di sebuah bilik.

“Selepas setengah jam menginap, mangsa datang ke bilik suspek dan melakukan hubungan seks. Mereka dipercayai pasangan gay.

“Hasil semakan di tempat kejadian mendapati hotel berkenaan mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan penelitian awal mendapati ada kelibat dua suspek mengangkat mangsa keluar dari sebuah bilik dan dibawa ke bilik yang lain.

“Kejadian bunuh itu dipercayai berlaku antara Jumaat hingga 4 pagi semalam,” katanya.

Shahurinain berkata, mangsa yang beralamat di Taman Sri Kluang, Kluang, maut di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat.

“Kedua-dua suspek bekerja sebagai jurujual dan seorang daripada mereka (36 tahun) mempunyai dua rekod jenayah lampau di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Siasatan dijalankan mengikut Sesyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Sumber; Metro

Loading...

Leave a Reply