Bunuh warga emas sedang menyanyi, pencuci kereta kekal hukuman mati

PUTRAJAYA, 28 Dis ― Mahkamah Rayuan di sini semalam mengekalkan hukuman mati terhadap seorang pencuci kereta yang didapati bersalah membunuh seorang warga emas ketika hendak merompak lelaki itu di rumahnya, tiga tahun lepas.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan Herman Mohd Ali, 34, terhadap sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Muar, Johor pada 25 Mei, 2016, selepas didapati bersalah membunuh Eyu Ah See, @ Yeo Thiam Ser, 73.

Bunuh warga emas sedang menyanyi, pencuci kereta kekal hukuman mati

Bunuh warga emas sedang menyanyi, pencuci kereta kekal hukuman mati

Hakim Tengku Maimun berkata setelah meneliti rekod rayuan dan penghakiman, mahkamah bersetuju hakim Mahkamah Tinggi telah membuat penilaian yang betul bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan terhadap perayu (Herman).

“Oleh itu tidak ada sebarang alasan untuk kami (panel hakim) campur tangan dapatan hakim Mahkamah Tinggi. Dengan keterangan yang ada, kami mendapati sabitan adalah selamat.

“Dengan ini rayuan ditolak. Sabitan dan hukuman disahkan,” katanya semasa menyampaikan keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam Muhammad Abd Kadir yang mewakili Herman dan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azmi Mashud.

Hakim Tengku Maimun bersidang bersama-sama Hakim Datuk Yaacob Md Sam dan Hakim Datuk Rhodzariah Bujang.

Herman dituduh membunuh warga emas itu setelah memecah masuk kediaman mangsa di Jalan Pasar, Batu Pahat, Johor semasa cuba melakukan rompakan antara 9 malam hingga 9.30 malam, pada 11 September 2014 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Mahkamah Tinggi Muar juga menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Herman setelah dia didapati bersalah mendatangkan kecederaan parah terhadap adik lelaki mangsa, Yeo Thian Gark, 63, dalam kejadian sama mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, Herman tidak merayu terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun itu.

Mengikut kes pendakwaan, semasa si mati sedang menyanyi di ruang tamu rumahnya, adik si mati (Thian Gark) terdengar pintu besi biliknya terbuka dan perayu telah memecah masuk rumah mangsa dengan membawa parang lalu menetak dan memukul kepala Thian Gark dengan parang.

Thian Gark yang cedera telah masuk ke biliknya dan beliau melihat si mati bergelut dengan perayu untuk mengambil parang itu, tetapi perayu masuk ke dalam bilik Thian Gark meminta wang daripadanya dan beliau memberikan dompetnya yang berisi wang kepada perayu yang kemudiannya melarikan diri bersama beg berisi jam tangan.

Thian Gark melihat abangnya terbaring tanpa bergerak di hadapan bilik dan hasil siasatan mendapati terdapat kesan tetakan di bahagian kepala, pinggang, lengan, jari dan isi perut si mati terburai.

Pakar patalogi yang menjalankan bedah siasat ke atas mayat si mati berpendapat bahawa kematian si mati disebabkan luka tikaman di bahagian abdomen yang telah menyebabkan kematian dengan cepat. ― Bernama

 Sumber: Malay Mail
Loading...

Leave a Reply