Kurang ajar! Surau dipecah masuk, duit tabung dicuri, al-Quran dibakar

Surau dipecah masuk, al-Quran dibakar

Penjenayah yang memecah masuk ke Surau Al Hidayah, Jalan Pertanian, Taman Universiti di sini bukan sahaja cuba mengambil wang dari tabung surau tetapi turut bertindak melampau membakar beberapa naskah dipercayai al-Quran.

Pengerusi surau berkenaan, Hassan Sabudin berkata, kejadian dipercayai berlaku pada tengah malam tadi dan disedari oleh bendahari surau yang kebetulan melalui kawasan itu kira-kira jam 2 pagi.

Menurutnya, suspek turut membuat selerak di dalam perkarangan surau sehingga peralatan serta buku-buku dan al-Quran yang disusun berterabur di atas lantai.

“Bendahari yang kebetulan melalui kawasan di hadapan surau berasa pelik kerana keadaan pintu surau yang terbuka jadi dia berhenti dan masuk ke surau untuk meninjau keadaan.

“Apabila masuk dia mendapati surau dalam keadaan berselarak, buku-buku dan peralatan berterabur. Lebih megejutkan beberapa naskah al-Quran dipercayai dibakar kerana terdapat cebisan naskah dan abu di laluan susur ke bilik air.

“Kita syak penjenayah masuk ke surau pada kira-kira jam 11.20 malam sebab jam kunci yang dipasang pada dinding telah dialihkan dan terhenti pada waktu berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Hassan berkata, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati sebuah kipas mudah alih telah hilang dan terdapat kesan gula getah pada bahagian lubang memasukkan duit tabung.

Katanya, surau berkenaan sering dipecah oleh individu yang cuba mencuri wang tabung surau namun kejadian itu merupakan paling buruk pernah berlaku.

“Pintu surau memang tidak dikunci bagi memudahkan penduduk di sini untuk datang menunaikan solat kerana ada diantara kariah yang akan datang pada waktu malam untuk menyempurnakan amalan mereka.

“Sebelum ini memang selalu berlaku pecah masuk, biasanya penjenayah hanya masuk untuk pancing duit dari tabung.. tetapi kali ini paling teruk kerana sanggup membakar al-Quran dan saya berasa amat kesal dengan kejadian ini,” katanya.

Pihaknya telah membuat laporan polis di Balai Polis Taman Universiti dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengesan penjenayah dan menyiasat motif sebenar tindakan membakar al-Quran.

“Kami tidak mengesyaki atau menuduh sesiapa, tetapi sekiranya ada masalah, datang berbincang dengan kami, jangan bertindak sebegini sehingga tidak menghormati kitab suci al-Quran,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Beh Eng Lai ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan polis dibuat pengurusan surau berkenaan.

 

Sumber: Sinar Harian

Loading...

Leave a Reply