“Kalau dah sampai jodoh, kami tak berahsia…” – Zoey dan Nana tunai umrah pada masa yang sama

Pelakon dan pengacara, Zoey Rahman, 31, mengakui memang dia pernah mengeluarkan kenyataan mengenai penyanyi popular, Siti Nordiana Alias atau Nana, 32, yang disifatkannya memiliki ciri-ciri wanita idaman.

Zoey atau Mohd Hairey Azhar Abd Rahman berkata, apapun dia bercerita perkara itu secara umum menjurus pada kriteria seorang wanita yang menjadi idaman lelaki untuk dijadikan isteri.

"Kalau dah sampai jodoh, kami tak berahsia..." - Zoey dan Nana tunai umrah pada masa yang sama

“Kalau dah sampai jodoh, kami tak berahsia…” – Zoey dan Nana tunai umrah pada masa yang sama

“Sebagai lelaki, memang akan mencari wanita yang memiliki sikap lemah lembut, penyayang, sopan santun dan bertanggungjawab pada keluarga untuk dipilih sebagai teman hidup.

“Kalau dilihat pada peribadi Nana, memang dia memiliki semua kriteria itu. Cuma, kenyataan saya tidaklah dituju pada Nana seorang tetapi secara umum buat wanita lain juga,” katanya kepada Harian Metro.

Pelakon yang popular dengan drama Mat Rukun di TV9 ini memberitahu dia sekadar berkongsi pendapatnya yang sering ditanya mengenai jodoh dan ciri-ciri wanita idaman.

Apatah lagi, baru-baru ini kisah Zoey dan Nana menjadi tular di media sosial apabila mereka mengerjakan umrah bersama di Tanah Suci pada 6 Disember lalu.

Menurut Zoey, dia sentiasa bersikap terbuka apabila ditanya soal jodoh. Namun, katanya dia tidak berniat langsung untuk mencanangnya.

“Saya tahu setiap peminat ada pendapat dan pandangan mereka terhadap seseorang selebriti diminati. Begitu juga, pendapat mereka pada saya dan Nana.

“Apapun macam yang pernah Nana beritahu sebelum ini, kami adalah kawan baik. Jika sudah sampai seru jodoh, kami juga tidak akan berahsia.

“Saya harap peminat faham dan terima kasih juga pada mereka (peminat) yang mendoakan baik-baik buat kami berdua,” katanya.

Zoey berkata dia banyak berkongsi pengalaman dengan Nana sepanjang meraka mengerjakan umrah kerana Nana baru pertama kali menjadi tetamu Allah SWT.

“Tiada yang istimewa dalam hubungan kami selain sebagai sahabat. Malah, saya dan Nana ketawa apabila tahu cerita kami mengerjakan umrah bersama menjadi tular di media sosial,” katanya.

Sumber: Metro

Loading...

Leave a Reply