Pengarah Urusan Jamu Mak Dara Sdn. Bhd., Syed Muhammad Ghaddafi Syed Ali Al-Habshee berkata, strategi memasarkan produk dengan cara memfokuskan kepada kemewahan dan gaya hidup pengusaha adalah sangat mengelirukan dan merupakan contoh yang buruk kepada usahawan baharu.

Beliau berkata, usahawan sepatutnya memberi pendidikan dan maklumat tentang kebaikan produk dan bukannya menjuruskan tumpuan kepada diri sendiri.

“Kita tahu ini zaman sukar untuk ‘survive’ sehingga menyebabkan ada usahawan yang buat benda-benda gila dan iklan yang memperbodohkan diri untuk menarik perhatian.

“Bila anda buat kerja gila sudah tentu orang hendak tengok tetapi mana dia hak pengguna untuk mendapat maklumat yang betul mengenai produk yang anda keluarkan?

“Kalau anda bodohkan diri untuk lariskan produk mungkin orang suka beli tetapi sekejap saja kerana apabila anda sudah tiada maka perniagaan anda juga mati,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas menyampaikan Syarahan Perdana bertajuk ‘Perintis Jutawan Muda’ di Kampus Kota Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Prof. Datuk Dr. Ibrahim Che Omar; Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi Keusahawanan Global (GERIC) UMK, Prof. Dr. Nik Maheran Nik Muhamad dan Pengarah SME Corp negeri, Nik Muhd Kamil Nik Ismail.

Program tersebut adalah penamat bagi siri syarahan termasuk Syarahan Pengerusi dan Syarahan Pelantikan Profesor anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) UMK bagi tahun ini.

Syed Muhammad Ghadaffi yang mengasaskan Jamu Mak Dara sejak 2004 berkata, perkara tersebut bagaikan satu trend khususnya kalangan usahawan Melayu memaparkan kemewahan seolah-olah itu adalah hasil kejayaan menjual produk mereka demi memperdayakan pengguna.

“Anda tunjukkan kelebihan boleh bawa Ferrari atau Lamborghini kerana produk sedangkan itu kerana anda mempunyai perniagaan sampingan lain.

“Orang kata ini strategi pemasaran tetapi saya tidak setuju dan sangat sedih melihat usahawan menarik perhatian dengan cara begini.

“Kita sepatutnya mendidik pengguna tentang kebaikan produk yang kita keluarkan dan bukannya mencari ‘spotlight’ untuk diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata, untuk berjaya seorang usahawan perlu fokus dan pada masa yang sama melakukan inovasi mengikut perkembangan teknologi terkini selain menasihatkan golongan muda menjadi pelopor mengeluarkan produk yang tersendiri di pasaran.

Sumber: Utusan