Azmin kata tetap sayang adik, Azwan Ali balas kata ‘jumpa di padang masyhar’

Azwan Ali

Personaliti Azwan Ali mengakui kisah keluarganya mampu dijadikan bahan untuk berkempen pada PRU14.

Menurutnya, sudah tiba masanya rakyat mengetahui sisi sebenar seorang yang bergelar Menteri Besar yang juga abangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Saya yakin, pendedahan saya ini mampu membuka mata ramai orang, lebih-lebih lagi orang Melayu yang mudah terpedaya dengan sikap hipokrit beliau (Mohamed Azmin).

“Saya hanya cerita kebenaran yang orang tak nampak selama ini. Saya berdendam dengan abang saya bukan kerana dengki atau apa, tetapi saya sudah tidak mampu bersabar lagi,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Online.

Selama lima tahun Azwan berkata, dia membantu abangnya itu berkempen, namun usahanya tidak mendatangkan kebaikan kepada dirinya.

“Saya buat semuanya. Saya gadaikan maruah, bergambar dengan orang PKR, Pas… berkempen, akhirnya hidup saya? Macam saya katakan sebelum ini, saya tak dapat kerja hanya kerana dia… orang tak mahu panggil saya kerana saya bersama pembangkang.

“Siapa yang untung? Tetapi beliau tidak pernah memikirkan orang lain, tetapi hanya untuk diri sendiri saja,” katanya.

Katanya, rakyat tertipu dengan sikap pura-pura abangnya itu.

“Saya bukan nak jual cerita keluarga, tapi dah sampai masanya rakyat boleh nilaikan sendiri.

“Saya sebak apabila mengenangkan sikap dia. Bagaimana arwah ibu saya minta kami berbaik-baik dulu.

“Saya ikutkan, bagi saya, oklah… buang yang keruh ambil yang jernih. Lagipun itu kehendak arwah ibu, tapi ada satu perkara yang buatkan betul-betul hati saya terluka. Beliau hipokrit,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai sikap Azmin yang memberitahu masih sayangkan Azwan sebagai adik, Azwan berkata ia adalah munafik.

“Saya hanya mahu cakap… jumpa di padang masyhar. Tak perlu beliau meroyan. Sebagai abang, beliau tak berpegang pada ajaran ALLAH SWT.

“Apa yang boleh saya katakan, hanya jauhari mengenal manikam,” katanya.

Dalam pada itu, Azwan berkata, biarpun terdapat netizen yang mengecam tindakannya, namun Azwan berpegang kepada kebenaran.

“Netizen boleh cakap apa sahaja. Saya gelar mereka ini ‘nerakazen.’ saya tak layan walaupun ada yang memberi mesej kepada saya.

“Pada saya, siapa yang cakap macam-macam pada saya, saya tak diam pun… sebaliknya membalas semula mesej-mesej mereka,” katanya.

Dalam pada itu,  menurut Azwan, terdapat perkara yang baru didengar sebelum bermulanya Perhimpunan Agung Umno 2017 (PAU2017) dan menganggap ia adalah waktu tepat, untuknya mendedahkan perangai sebenar abangnya itu.

Terdahulu Azwan membuat kejutan menghadiri PAU2017 bersama-sama Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Bercakap kepada media, Azwan menyatakan kemunculannya adalah semata-mata untuk mendedahkan ‘sesuatu yang besar’ berhubungkait dengan Azmin Ali.

“Kehadiran pertama kali saya ke PAU, saya diajak Datuk Seri Jamal Md Yunos ke sini.

“Mereka tertipu dengan sikap Azmin,” katanya.

 

Sumber: Sinar Harian

Loading...

Leave a Reply