Robinho dipenjara 9 tahun kerana merogol secara berkumpulan

Bekas penyerang AC Milan dan Real Madrid, Robinho dihukum penjara sembilan tahun di Itali semalam selepas didapati bersalah atas dakwaan merogol secara berkumpulan, menurut laporan media tempatan.

Insiden itu didakwa berlaku pada Januari 2013, ketika Robinho masih bermain untuk Milan dalam kancah Serie A.

Dia didapati bersalah oleh mahkamah Itali kerana melakukan serangan seksual ke atas wanita Albania berusia 22 tahun.

Lima suspek lain turut didakwa atas kesalahan sama tetapi hukuman ke atas mereka belum dipastikan.

Menurut akhbar harian Milan, Corriere della Sera, Robinho dan lima rakannya menyebabkan wanita itu mabuk ‘hingga tidak sedarkan diri dan tidak mampu untuk menghalang.’

Mereka kemudian dikatakan ‘melakukan hubungan seks beberapa kali secara berturut-turut’ dengan wanita itu.

Robinho mengaku tidak bersalah dan dia masih boleh merayu atas hukuman berkenaan.

“Kami ingin menjelaskan dia sudah membela dirinya atas tuduhan itu, mengesahkan dia tidak terbabit,” menurut satu kenyataan yang dimuat naik di laman Instagram Robinho.

“Segala aspek undang-undang sedang dipertimbangkan.”

Penyerang 33 tahun Brazil itu kini beraksi untuk kelab Brazil, Atletico Mineiro. Dia tampil beraksi 11 kali bersama negaranya. – AFP

 

Sumber: BH Online

Loading...

Leave a Reply