Lebih 50 pekerja Domino’s Pizza terima subsidi RM100,000

Lebih daripada 50 pekerja Domino’s Pizza yang layak akan menikmati subsidi keseluruhan berjumlah RM100,000 menjelang tahun hadapan menerusi Program Domino’s We Care.

Pengurus Besar Kanan, Operasi Domino’s Pizza Malaysia dan Singapura, Shamsul Amree Ab Rahman, berkata subsidi diberikan itu bagi membantu mengurangkan beban kewangan kakitangan yang layak dalam berdepan kos sara hidup tinggi di ibu kota.

Katanya, berdasarkan rekod ada sebilangan pekerjanya mempunyai keluarga besar dan pastinya memberi cabaran pada mereka.

“Kenaikan harga barangan seperti keperluan asas membuatkan kami menyediakan inisiatif ini untuk memberi bantuan kewangan kepada pekerja yang layak.

“Kami ingin memelihara keperluan asas pekerja dari segi makanan harian yang mencukupi memandangkan ia penting untuk meneruskan gaya hidup sihat dan dipenuhi khasiat.

“Dengan subsidi ini, kami berharap ia dapat mengubah kehidupan keluarga pekerja kami lebih baik selari dengan pegangan kami bagi memperkasakan kehidupan kakitangan yang kurang berkemampuan,” katanya kepada BH.

Program Domino’s We Care bermula pada Januari ini adalah sebagai tanda penghargaan atas khidmat dan sumbangan berkualiti kepada syarikat.

Menerusi program itu sebanyak RM100 dikreditkan setiap bulan dalam kad pintar Domino’s kepada kakitangan terpilih dalam tempoh dua tahun.

Beri penghargaan

Shamsul Amree berkata, penting untuk pihak syarikat memahami latar belakang pekerja demi memastikan mereka berada dalam keadaan yang baik dan bahagia.

“Pekerja bahagia adalah yang produktif. Jadi melalui program ini, manfaat mampu diterima oleh semua pihak yang terbabit,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengurus Domino’s Pizza Taman Connaught, Norolhidayu Rohani, 34, berkata beliau bersyukur apabila majikannya begitu prihatin dengan memberi bantuan menerusi program itu.

Katanya, secara tidak langsung dapat meringankan beban beliau yang memilih menjadi ‘ketua keluarga’ untuk membeli keperluan dapur atau susu formula.

“Biasanya setiap bulan saya membeli dua pek susu formula, tetapi dengan bantuan diberikan ini saya boleh membeli empat pek. Sekurang-kurangnya saya tidak cemas jika kekurangan wang dan boleh merancang perbelanjaan bulanan saya,” katanya.

Katanya, biarpun keputusan dilakukan agak janggal, demi kebaikan keluarga dan persetujuan suaminya, beliau saja yang bekerja memandangkan memperoleh pendapatan lebih daripada suaminya.

 

Sumber: BH Online

Loading...

Leave a Reply