“Saya tak tiru” – Syura kecewa didakwa suka tiru imej Siti Nordiana

PENYANYI Syura Badron mengakui sedih dan kecewa apabila sentiasa dikaitkan dengan dakwaan suka meniru Siti Nordiana atau Nana oleh segelintir netizen di laman sosial.

Syura, 31, atau Zuraidah Badron ketika dihubungi, berkata dakwaan dilemparkan itu sangat tidak berasas bagi dirinya yang kini giat berusaha membina semula karier seni yang pernah ditinggalkan suatu ketika dulu.

"Saya tak tiru" - Syura kecewa didakwa suka tiru imej Siti Nordiana

“Saya tak tiru” – Syura kecewa didakwa suka tiru imej Siti Nordiana

Akui ibu tunggal tiga anak ini, tiada sebab pun untuk dia meniru Nana kerana mereka sahabat baik dan yakin masing-masing ada kelebihan sendiri.

“Saya sebenarnya hairan kerana apa saja yang saya lakukan atas usaha dan inisiatif sendiri pasti dikaitkan dengan Nana.

“Contohnya, baju kami kebetulan warna merah dalam Gegar Vaganza (GV4) minggu lalu pun boleh menjadi pertikaian netizen dan saya dikatakan meniru Nana.

“Terus-terang, sepanjang saya menyertai program GV4 ini tidak pernah walau sekalipun saya merujuk Nana untuk mendapatkan pandangan dan buah fikiran daripadanya berhubung corak persembahan sesuai, pakaian, cara nyanyian dan sebagainya.

“Apa yang saya pakai, cara menyanyi dan persembahan dibuat semua ilham sendiri. Ini kerana, saya tahu yang bertanding dalam GV4 sekarang ialah saya dan bukannya Nana,” katanya.

Menurut Syura, walaupun dia sudah lali asyik dikaitkan cuba meniru penyanyi lain, apa yang diharapkan semoga masyarakat memberi dia ruang dan peluang.

“Saya kini dalam proses berusaha mencari identiti sendiri. Jadi, tolong beri saya ruang dan peluang itu serta janganlah cepat membuat penilaian.

“Jangan terus mengaitkan saya cuba meniru Nana atau penyanyi lain kerana itu tidak adil bagi saya.

“Saya kini gigih berusaha untuk majukan diri dalam karier seni diceburi dengan cara sendiri,” katanya.

Syura yang pernah popular dengan lagu Nazam Berkasih memberitahu dia kini berdebar kerana perlu menyahut cabaran menyanyikan lagu Ella, Sepi Sekuntum Mawar Merah untuk saingan minggu kelima GV4, Ahad ini.

Ujarnya, meskipun ia satu cabaran berat untuk tugasan tema ‘Kaum Kerabat’ itu, namun apa yang pasti dia nekad cuba membuat persembahan terbaik dengan gaya tersendiri.

Sumber: Metro

Loading...

Leave a Reply