20 etnik Uighur Muslim lolos, mungkin menuju ke Malaysia

Pihak berkuasa Thailand memburu 20 etnik Uighur Muslim dari China yang melarikan diri dari pusat tahanan imigresen di selatan Thailand, ketika Beijing mendesak Bangkok menghantar mereka pulang.

Polis berkata, pelarian berjaya membolosi tembok pusat tahanan di Sadao, berhampiran sempadan paling selatan Thailand, menggunakan selimut untuk melarikan diri ketika hujan lebat.

Kumpulan itu adalah antara ratusan yang ditahan di Thailand pada 2014 walaupun mendakwa mereka rakyat Turki.

Turki berkongsi hubungan etnik dengan Uighur dan menerima mereka yang lari dari rantau barat Xinjiang di mana minoriti Islam berdepan sekatan ketat beragama termasuk larangan menyimpan jambang dan solat di tempat terbuka.

Beijing bergantung kepada negara di Asia Tenggara menghantar mereka pulang.

Polis imigresen Thailand berkata, lima daripada pelarian itu berjaya ditangkap ketika cuba melarikan diri sebelum Subuh semalam, dan pihak berkuasa turut mengeluarkan rakaman kamera keselamatan menunjukkan mereka menyelinap di luar sel penjara dalam gelap.

“Seramai 20 tahanan masih diburu, mereka tidak mempunyai makanan dan tidak dapat berkomunikasi dengan penduduk kampung.

“Mereka kemungkinan mahu masuk ke Malaysia. Kami percaya mereka akan ditangkap tidak lama lagi,” kata jurucakap polis imigresen, Cherngron Rimpadee menambah rondaan di sempadan turut dipertingkatkan. -AFP

 

Sumber: BH Online

Loading...

Leave a Reply