Mahkamah tolak tuntutan saman wartawan kosmo dan utusan terhadap Shila Amzah

Mahkamah Tinggi menolak tuntutan saman dikemukakan dua wartawan hiburan terhadap penyanyi Shila Amzah dan bapanya, ND Lala berhubung kenyataan artis itu pada satu sidang media, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Firuz Jaffril, menolak tuntutan saman difailkan wartawan hiburan akhbar Kosmo!, Maliah Surip, 36 dan wartawan hiburan akhbar Utusan, Mohd Ifqdar Abdul Rahman, 35, selepas mendapati kenyataan oleh Shila dan ND Lala tidak memfitnah.

Dalam penghakimannya Mohd Firuz Jaffril berkata, Shila dan bapanya tidak berniat jahat ketika mengeluarkan kenyataan itu, sebaliknya ia adalah untuk menjelaskan berhubung penerbitan sebuah artikel membabitkan dirinya.

Beliau berkata, Shila dan bapanya berhak kepada pembelaan komen berpatutan kerana ia membabitkan isu kepentingan awam.

Katanya, artis dan wartawan saling memerlukan bagi meningkatkan kerjaya masing-masing.

Kedua-dua plaintif diwakili peguam Ellia Zuraini Mat Zin, manakala peguam K Mahendra bertindak bagi Shila atau nama sebenarnya Nurshahila dan ND Lala atau Amir Hamzah Salleh.

Plaintif memfailkan saman itu pada 17 Disember 2015 selepas ND Lala selaku defendan pertama dan Shila pula yang dinamakan sebagai defendan kedua mengadakan sidang media di Mega Music World, Cheras, di sini pada 24 September 2014 untuk menjawab persoalan wartawan hiburan berhubung tindakan penyanyi itu memuat naik sekeping gambar di Instagram miliknya.

Tuntutan plaintif adalah berhubung kenyataan defendan yang menyentuh kewibawaan mereka selaku wartawan hiburan.

Pada 31 Mac lalu, Shila gagal dalam tuntutan samannya terhadap Maliah, pengarang Kosmo! dan penerbit akhbar itu, Utusan Melayu (M) Berhad selepas mahkamah mendapati artikel disiarkan akhbar Kosmo!, yang mengaitkan konsert penyanyi itu empat tahun lalu ditaja sebuah syarikat perjudian, tidak berniat jahat.

 

Sumber: BH Online

Loading...

Leave a Reply