Hasrat masak asam pedas terbantut, isteri was-was suami terbeli daging babi

Hasrat seorang suri rumah untuk menyediakan asam pedas daging sebagai hidangan makan tengah hari terbantut apabila dia khuatir daging yang dibeli suaminya adalah daging babi.

Mazliana Abdul Manap, 35, berkata dia was-was apabila melihat warna dan tekstur daging yang didakwa dibeli oleh suaminya di sebuah pasar di Selayang minggu lepas tidak seperti daging lembu biasa yang pernah dibeli sebelum ini.

“Warna dagingnya cerah, bila rasa was-was saya terus Google dan suami tanya rakannya yang berbangsa Cina untuk dapatkan kepastian.

“Selepas buat semakan dan bertanya rakan-rakan, ada banyak pendapat membuatkan kami tetap was-was dan ambil keputusan tidak makan daging tersebut,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Posting mengenai kejadian ini yang dimuat naik Mazliana di Facebook, pagi Isnin telah tular dengan netizen mencadangkan supaya dia membuat laporan kepada pihak yang bertanggungjawab supaya siasatan dapat dilakukan.

Bagaimanapun, timbul juga pertikaian sesama netizen apabila ada yang mendakwa daging tersebut adalah daging lembu, bukan daging babi seperti yang didakwa Mazliana.

Ibu kepada tiga anak ini berkata, dalam hal ini dia tidak mahu cepat melatah dengan menyalahkan suaminya, penjual, pengurusan pasar atau pihak berkuasa.

Jelasnya, dia dan suami tetap membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan harapan siasatan dapat dibuat bagi mendapatkan pencerahan berhubung rasa was-was yang timbul.

“Walaupun rasa nak marah, kesal, nak muntah bila dapat tahu perkara ini, saya tak mahu salahkan sesiapa selagi siasatan belum dibuat.

“Nak salahkan suami pun tak patut. Kalau penjual, mungkin dia terlepas pandang atau tak perasan sebab suami saya beli daging sejuk beku, lagipun yang berniaga di situ ramai orang asing, pasar tu agak gelap, ada bermacam kemungkinan,” katanya.

Posting yang dimuat naik Mazliana di Facebook, pagi Isnin.

Mengulas lanjut kejadian itu, Mazliana berkata dia dan suami yang tinggal di Wangsa Maju biasanya hanya akan ke pasar tersebut untuk membeli ikan, ayam dan sayur-sayuran kerana harganya berpatutan dan banyak pilihan.

“Jarang kami beli daging di situ, cuma minggu lepas entah macam mana suami beli daging sejuk beku dan tak sangka jadi macam ni.

“Lepas ni kami mungkin tak akan beli lagi daging di pasar yang sama, kalau nak beli daging kami akan beli di tempat lain yang dijual peniaga Muslim atau tempat lain yang lebih meyakinkan,” katanya.

Menurut Maziana, selepas kejadian itu dia bingung seketika dan tidak dapat berfikir apa yang patut dimasak untuk makan tengah hari.

Dia juga telah menukar tetapan umum kepada privasi pada Facebooknya selepas posting itu tular dan ada yang mengecam tindakannya.

Jelasnya, dia tidak menyangka posting yang dimuat naik itu akan tular kerana niatnya hanya untuk berkongsi rasa was-was, dalam masa yang sama mahukan kepastian.

“Saya tak tahu nak buat apa, nak masak apa. Putus selera sekejap,” katanya.

Sumber: Mstar

Loading...

Leave a Reply