“Ada yang kata saya peserta pertama akan tersingkir. Tak kisahlah” – Raja Azura

“Ada yang kata saya peserta pertama akan tersingkir. Tak kisahlah, saya tak mahu ambil tahu.”

Demikian kata pelakon, pengacara dan bekas penyampai radio Sinar FM, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 45, mengenai penyertaannya dalam Gegar Vaganza musim keempat (GV4) yang akan bermula 29 Oktober ini.
Sebaik diumumkan sebagai salah-seorang peserta program realiti popular itu baru-baru ini, ramai yang skeptikal terhadap penyertaan Raja Azura kerana kerjayanya sebagai penyanyi tidak begitu menyerlah.

“Saya sudah merasa jadi pengacara, pelakon, penyampai radio bahkan pernah menyanyi. Biarlah kali ini saya timba ilmu jadi peserta GV4 pula.

“Apa pun yang mereka akan katakan mengenai pembabitan mahupun persembahan saya nanti, saya tetap positif. Saya sudah biasa dengan situasi itu,” katanya.

Selain pengacara, Raja Azura lebih dikenali sebagai pelakon. Namun, dia pernah menghasilkan dua album pada 1992 dan 2006 serta dikenali dengan lagu Hati Terkunci dan Dan Daun Pun Berguguran.

Raja Azura berharap pembabitannya dalam GV4 nanti mampu membuka rezeki baru buatnya.

Selain Raja Azura, GV4 turut menampilkan Elyana, Syura, Aishah, Liza Hanim, Haida, Hazami Lan Kristal, Tia Jinbara, Ferhad, Firman Siagian dan Aqasha.

 

Sumber: Harian Metro

Loading...

Leave a Reply