KUALA LUMPUR 13 Okt. – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) meminta penyanyi berunsur lagu ketuhanan, Hafiz Hamidun dan isterinya, pengusaha kosmetik Siti Arifah Amin atau Joy Revfa untuk berhenti daripada mendedahkan aib antara satu sama lain ekoran pergolakan rumah tangga mereka.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia tegur Hafiz Hamidun dan Joy Revfa henti dedah aib satu sama lain kepada umum
Presidennya, Musa Awang berkata, tindakan membesar-besarkan isu pergolakan rumah tangga dan mendedahkan kelemahan pasangan kepada umum adalah sesuatu yang tidak sihat dan bertentangan dengan tuntutan agama Islam.
“Mereka tidak sepatutnya berkongsi rahsia rumah tangga dan perkara-perkara penting lain kepada umum setelah membawa kes ke mahkamah kerana keadaan itu boleh menyebabkan prejudis dan menimbulkan fitnah terhadap pihak yang satu lagi.
“Ia bukan sahaja memberi kesan buruk kepada mereka, malah turut menimbulkan perspektif negatif orang ramai terhadap institusi mahkamah syariah itu sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Musa, adalah sesuatu yang tidak kena pada tempatnya apabila segala butiran penting yang sepatutnya dibincangkan secara tertutup di mahkamah dibawa keluar dan ‘dihidangkan’ kepada umum.
“Kesemua hal berbangkit seperti isu nafkah dan sebagainya perlulah dibincangkan dalam mahkamah secara adil dan pihak tertuduh boleh menjawab segala tuduhan tersebut dengan jelas, bukannya dibuka kepada umum,” katanya.
Sumber: Utusan