UKM tubuhkan klinik berhenti merokok untuk bantu warga universiti bebas dari rokok

PUSAT Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengambil inisiatif untuk mewujudkan klinik berhenti merokok bagi membantu warga universiti itu bebas daripada tabiat berkenaan.

 

 

UKM tubuhkan klinik berhenti merokok untuk bantu warga universiti bebas dari rokok

UKM tubuhkan klinik berhenti merokok untuk bantu warga universiti bebas dari rokok

 

 

Ketua Pusat Kesihatan UKM, Dr Rahmah Ibrahim berkata, klinik berkenaan dijangka mula beroperasi pada bulan depan dengan keutamaan diberikan kepada penuntut dan kakitangan universiti itu.

“Klinik ini baru hendak bermula, mungkin bulan akan datang di dalam Pusat Kesihatan.

 

“Perkhidmatan yang akan diberikan adalah secara percuma untuk kakitangan dan penuntut UKM,” katanya pada Majlis Perasmian Minggu Keselamatan, Kesihatan dan Kelestarian UKM di kampus induk UKM di Bangi, hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat UKM Prof Datuk Dr Imran Ho Abdullah.

Sempena majlis itu juga dilancarkan Hari Kelestarian Kampus UKM dan Kampus Bebas Asap Rokok.

Mengenai kempen bebas asap rokok itu, Dr Rahmah berkata, pihaknya berhasrat untuk menjadikan seluruh kawasan kampus bebas daripada asap rokok.

“Semua tempat di dalam UKM sepatutnya tidak menjadi tempat untuk merokok,” katanya.

Ditanya sama ada denda tertentu akan dikenakan kepada mereka yang terus merokok di dalam UKM, katanya, buat masa sekarang belum sampai ke tahap untuk mengenakan denda.

“Sekarang kita masih dalam proses pengenalan. Jadi, kita tidak mengenakan denda, cuma kita akan menasihati dan memberikan amaran kepada mereka. Untuk jangka masa akan datang mungkin kita akan mengenakan denda,” katanya.

Menurutnya, selari dengan usaha itu juga pihaknya merancang untuk membuat kajian lebih serius mengenai tabiat merokok dalam kalangan penuntut dan kakitangan universiti serta tahap ketagihan mereka.

Sumber: Metro

Loading...

Leave a Reply