Budak 19 tahun minta maaf cengkam lengan Farahdhiya sampai lebam

PERNAH popular dengan lagu Bertakhta Di Hati, Farahdhiya atau nama sebenarnya Farahdhiya Mohamed Amin mungkin satu nama yang tidak asing lagi di pentas muzik tempatan.

Terdahulu, penyanyi dan pelakon ini pernah menjadi bualan hangat dalam kalangan netizen mengenai kontroversi beliau menerima gambar lucah daripada remaja bawah umur.

Terbaharu, pelakon ini dilaporkan telah dikasari oleh seorang remaja berumur 19 tahun ketika menjalani sebuah penggambaran bagi menjayakan program realiti siaran Astro Ria.

Bagaimanapun, Farahdhiya memberitahu pihak media bahawa tiada sebarang kecederaan serius berlaku tetapi hanya terdapat kesan lebam pada lengannya akibat dicengkam.

Difahamkan, remaja berkenaan yang dikenali sebagai Ezmir Sadriq merupakan salah seorang finalist pertandingan jejaka kacak iaitu Hero Remaja 2017.

“Ketika itu pemuda berkenaan sedang berlakon dengan saya bagi memenuhi salah satu tugasan yang diberikan kepadanya.

“Dalam salah satu adegan, dia telah cengkam kedua-dua lengan saya lantas meninggalkan sedikit kesan lebam,” ujarnya dipetik sebuah portal.

Tambahnya lagi, insiden seperti itu sebenarnya hanyalah perkara kecil yang sering berlaku di set penggambaran dan sama sekali tidak marah akan Ezmir mengenai hal itu.

Malah, dia menganggap pemuda itu hanya teruja di samping bersungguh untuk menghayati watak yang dibawa memandangkan dia masih ‘hijau’ dalam dunia lakonan.

“Sebagai seorang pelakon, insiden seperti itu adalah perkara kecil yang perlu dihadapi apabila berada dalam set penggambaran.

“Lagipun dia masih baharu dalam dunia lakonan dan sedang mempelajari teknik lakonan,” kata Farahdhiya.

Sementara itu, Ezmir dilihat telah memuat naik satu posting di laman Instagram di mana dia meminta maaf kepada pelakon berkenaan atas kekasaran yang dilakukan tanpa sengaja itu.

“Once again I would like to say sorry to kak @farahdhiya_fd for being rough unintentionally while shooting episode 4 Hero Remaja 2017 🙏🏻 Thank you so much for the lessons and tips 😊 ,”  katanya menerusi kapsyennya.

Ezmir merupakan jejaka kelahiran Miri, Sarawak dan penuntut dalam bidang kejuruteraan mekanikal di sebuah universiti swasta tempatan.

 

Sumber: MYNEWSHUB.CC

Loading...

Leave a Reply