Kos sara hidup tinggi, Cuepacs minta 2 kenaikan ringankan beban penjawat awam

azih-muda-cuepacs-1

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini meminta kerajaan mempertimbangkan insentif 2 kenaikan gaji tanpa mengira kumpulan pekerjaan dan pangkat.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata inisiatif itu akan membantu meringankan beban penjawat awam yang berdepan kos sara hidup tinggi.

“Selain itu, Cuepacs juga meminta kerajaan mengkaji semula kadar elaun khidmat awam (bagi kumpulan paling rendah) yang kini sebanyak RM95. Kali terakhir elaun ini disemak adalah pada 2002.

“Sudah sampai masanya kerajaan menetapkan kadar minimum elaun ini sebanyak RM180. Ini cadangan Cuepacs,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata beberapa cadangan itu diharap diberi pertimbangan khusus menjelang Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-15 (MAPPA XV) yang dijadual berlangsung pada 3 Oktober ini.

Kongres itu juga, menurut Azih memohon kerajaan mempertimbangkan untuk memperluas kenaikan pangkat secara ‘time-based’ kepada kumpulan penjawat awam lain.

“Time-based kali pertama telah dilaksanakan kepada kumpulan pelaksana. Time-based kali pertama, kedua dan seterusnya diberikan kepada kumpulan guru. Kita minta kumpulan-kumpulan bukan guru dan kumpulan dalam perkhidmatan awam yang lain dipanjangkan untuk time-based dalam tempoh terdekat.

“Diharap cadangan ini dipertimbangkan dan berkuat kuasa mulai 1 Januar tahun hadapan. Hanya majikan (kerajaan) yang boleh membantu penjawat awam untuk memastikan mereka bukan lagi berada dalam keadaan susah atau miskin,” katanya.

Dalam pada itu, Cuepacs juga berharap kerajaan dapat mempertimbangkan beberapa cadangan dan tuntutan yang dikemukakannya demi memelihara kebajikan dan integriti penjawat awam.

Timbalan Presiden II Cuepacs Zainal Ismail berkata pihaknya menuntut kerajaan supaya mempertimbangkan kenaikan gaji asas penjawat awam, elaun, bonus dan kenaikan gred untuk  diumumkan pada pembentangan Bajet 2018.

“Kami menuntut semakan gaji dapat dibuat dengan mempertimbangkan kenaikan gaji tahunan, menyelaraskan beberapa elaun, bonus sebulan gaji dan tempoh kenaikan gred daripada 13 tahun kepada 10 tahun.

“Permohonan ini diharap dapat dipertimbangkan supaya penjawat awam dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik setanding dengan negara-negara maju,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Dwitahunan Kali ke-14 Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal (KSKM) Malaysia di Kepala Batas.

Katanya tuntutan itu juga seiring dengan hasrat kerajaan yang ingin meningkatkan mutu perkhidmatan awam berkelas dunia dan pihaknya sangat berharap kerajaan dapat menunaikannya bagi memberi inspirasi kepada penjawat awam.

Zainal berkata Cuepacs telah menghantar semua tuntutan dan cadangan itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan berharap ia dapat direalisasikan serta diumumkan pada pembentangan Bajet 2018.

Katanya Cuepacs  bukan kumpulan yang ingin menekan kerajaan tetapi tuntutan itu dibuat berdasarkan kepada kemampuan kerajaan yang pihaknya tahu bahawa pimpinan sekarang mampu merealisasikannya.

Beliau berkata ketika ini terdapat 1.602 juta penjawat awam di negara ini yang berkhidmat kepada kerajaan untuk memajukan negara dan sentiasa membela kerajaan.

“Kestabilan ekonomi negara kita sekarang mendapat pengiktirafan antarabangsa, dan Cuepacs yakin tuntutan itu tidak akan membebankan kerajaan demi kepentingan penjawat awam,” katanya.

 

Sumber: FMT

Loading...

Leave a Reply