Datuk penggal kepala cucu saudara dan bawa bersiar-siar

KEPUTUSAN membebaskan seorang pembunuh yang ditahan di hospital mental sejak enam tahun lalu, membawa padah apabila lelaki itu memenggal kepala budak perempuan berusia 18 bulan iaitu cucu saudaranya dan membawa kepala mangsa ‘bersiar-siar’ di bandar Astrakhan, Russia.

Polis menembak lelaki itu, Mikhail Elinsky, 42, selepas dia enggan menyerah diri dan mengancam anggota dengan pisau dan dia mati di hospital.

Menurut laporan Daily Mail dan beberapa portal berita Britain hari ini, Mikhail turut menikam ibu mangsa, iaitu anak saudaranya, Tatiana, mengakibatkan kecederaan serius.

Tatiana sebelum ini merayu kepada pihak berkuasa supaya tidak membebaskan lelaki itu dari hospital mental kerana bimbang dengan keselamatan keluarga kerana Mikhail membunuh seorang wanita enam tahun lalu.

Tatiana yang berusaha menyelamatkan anaknya, Natalia, ditikam lelaki itu apabila dia datang ke dapur ketika Mikhail sedang mencederakan mangsa.

Tatiana dilaporkan berkata kejadian berlaku ketika mereka hendak keluar dan anaknya duduk di atas basikal roda tiga.

“Dia menarik anak saya dan membawanya ke dapur, menutup pintu dan mula ‘memotong’ anak saya.

“Saya berlari ke dapur untuk menghalangnya tapi dia tikam perut saya,” katanya.

Laporan media tempatan menyatakan lelaki itu berlari di jalan raya sambil membawa kepala mangsa dan polis mengambil masa setengah jam untuk cuba menahannya sebelum melepaskan tembakan.

Dalam kejadian enam tahun lalu, lelaki itu membunuh wanita pembantu kedai di bandar berkenaan, menikam mangsa berkali-kali ketika mabuk.

Dia disahkan mempunyai masalah mental ‘paranoid schizophrenia’ menyebabkan dihantar ke hospital mental dan dibebaskan baru-baru ini, selepas disahkan ‘sihat’.

 

Sumber: Harian Metro

Loading...

Leave a Reply