“Kami difitnah, tak tergamak minta RM1,500”

“KAMI difitnah. Sedikit pun kami tidak tergamak meminta ganti rugi RM1,500 kepada tiga beranak itu,” kata individu yang mahu dikenali sebagai Fazli, 28, pemilik kereta yang didakwa membuat tuntutan RM1,500 bagi cermin sisi yang dilanggar penunggang motosikal seperti yang tular di laman sosial.

Dalam kenyataan yang dibuat oleh pemilik akaun Facebook Mimi Baizura, dua lelaki didakwa memarahi penunggang motosikal di hadapan anak dan isterinya sehingga menangis serta meminta ganti rugi sebanyak RM1,500 daripada penunggang motosikal berkenaan.

Berikutan dakwaan itu, dua lelaki berkenaan dikecam teruk oleh netizen sehingga ada yang menghina serta membuat ugutan untuk mencederakan mereka.

Mohd Fakri berkata, dalam kejadian kira-kira 5 petang Sabtu lalu, dia dan seorang rakannya sedang berbincang dengan penunggang motosikal terbabit selepas sangkar kucing yang dibawa oleh isteri penunggang terbabit terlanggar cermin sisi kereta.

Katanya, cermin sisi keretanya itu baru sahaja diganti bulan lalu selepas dilanggar lori dan kos baik pulih serta penggantian sepasang cermin sisi kereta jenis Ford Fiesta itu hampir RM1,500.

“Saya hanya menunjukkan resit bayaran kos baik pulih itu kepada penunggang motosikal namun tidak menuntut bayaran sehingga RM1,500 sebaliknya mengajak untuk ke balai polis untuk membuat laporan supaya boleh membuat tuntutan insurans.

“Tetapi penunggang itu enggan, membuatkan saya sedikit berkeras untuk berbincang. Mungkin ketika itu ada individu yang lalu di kawasan itu menganggap kami sedang menuntut RM1,500 daripada lelaki itu lalu mengambil gambar situasi itu.

“Saya juga terkejut bagaimana akaun Facebook rakan saya beserta gambar kami dan satu kenyataan palsu boleh menjadi tular sehingga kami berdua dihina dan diugut oleh orang ramai,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, dia kecewa dengan kenyataan yang disebarkan Mimi Baizura tanpa usul periksa dan tidak sahih termasuk jenis kereta yang digunakan iaitu Ford Fiesta bukan Perodua Viva seperti yang tular.

“Saya harap orang ramai berhenti untuk memberi kecaman kepada saya dan rakan saya kerana situasi ini adalah salah faham. Malah kes yang berlaku antara kami dengan penunggang motosikal itu juga sudah selesai.

“Penunggang itu memberi RM100 sebagai ganti rugi walaupun saya tidak minta, namun saya memberikan semula RM50 kerana simpati dengan keadaan mereka,” katanya.

Menurutnya, disebabkan kenyataan yang tular,rakannya yang dikenali sebagai Mohd Fakri membuat laporan polis kelmarin bagi melindunginya daripada sebarang kejadian tidak diingini selepas menerima pelbagai ugutan di akaun Facebook miliknya.

Mohd Fakri ketika dihubungi mendakwa masih trauma dengan kecaman yang diterima dan enggan memberi sebarang kenyataan serta menyerahkan semua urusan isu terbabit kepada keluarga dan peguam yang dilantik.

Sementara itu, Mimi Baizura ketika dihubungi melalui aplikasi Whatsapp berkata, dia tidak menyangka kenyataannya itu menjadi tular dan menganggap kejadian itu adalah salah faham.

“Bagi pihak saya dan pihak sana (Fakri), kami anggap benda ini selesai dan tidak mahu dipanjangkan.

“Saya sudah beri keterangan pada pihak polis dan anggap semua ini habis di sini. Saya tidak mahu aib mana-mana pihak dan tidak sangka boleh jadi macam ini. Harap ia boleh selesai dengan baik,” katanya.

Sejak Isnin, gambar dan kisah dua lelaki memarahi penunggang motosikal serta meminta ganti rugi sebanyak RM1,500 bagi cermin sisi yang dilanggar menjadi tular di media sosial dan menerima pelbagai reaksi netizen.

 

Sumber: Harian Metro

Loading...

Leave a Reply