“Dakwaan tak berasas” – Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia nafi khabar angin lelaki Singapura mati kerana hospital Johor minta deposit sebelum rawatan

TIADA kelewatan ambulans atau desakan pembayaran deposit sebelum rawatan dijalankan ke atas warga Singapura yang maut akibat kemalangan jalan raya di Johor Bahru, seperti didakwa sebuah laporan dalam portal berita Singapura.

 

"Dakwaan tak berasas" - Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia nafi khabar angin lelaki Singapura mati kerana hospital Johor minta deposit sebelum rawatan

“Dakwaan tak berasas” – Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia nafi khabar angin lelaki Singapura mati kerana hospital Johor minta deposit sebelum rawatan

 

 

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan rekod perkhidmatan ambulans pada 25 Ogos lalu, Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru menerima panggilan kecemasan pada 2.57 pagi sebelum ambulans keluar pada 2.59 pagi.

 

Beliau berkata, ambulans dilaporkan tiba di lokasi kejadian pada 3.10 pagi sebelum beredar dari tempat kejadian dengan membawa pesakit pada 3.15 pagi.

 

“Syabas kepada perkhidmatan ambulans yang memberi respon sangat tepat pada masanya, malah masa penghantaran selama dua minit serta dan tempoh respon hanya 13 minit,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, memandangkan keadaan lelaki berusia 25 tahun itu kritikal, dia dimasukkan ke zon merah ketika tiba di Jabatan Kecemasan HSA dan dengan segera dia diberi rawatan kecemasan.

Katanya, ujian radiologi dan CT Scan kemudian dilakukan segera tanpa sebarang bayaran yang diminta pihak hospital memandangkan ia adalah kes kecemasan.

“Memandangkan kecederaan pada otaknya, pesakit kemudian dirujuk ke Jabatan Pembedahan Neuro untuk membuang pembekuan dalam kepalanya dalam kadar segera,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, isu pembayaran wang pendahuluan hanya timbul apabila ahli keluarga pesakit tiba di hospital itu dan mereka diminta membayar deposit sebanyak RM2,575 bagi pembayaran pengimejan sebagai tuntutan Akta Fi.

Bagaimanapun, katanya, waris memohon keluar hospital dengan tanggungan sendiri (AOR discharge) untuk dibawa pulang ke Singapura bagi rawatan lanjut di sana.

Berikutan itu, Dr Noor Hisham mendesak semua pihak yang berkaitan dalam melapor atau mengulas mengenai berita insiden itu untuk bertanggungjawab atas maklumat tidak tepat serta kenyataan yang tidak berasas yang menyebabkan berlaku salah faham.

“Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa menghargai sesuatu kehidupan dan melakukan yang terbaik dalam merawat mana-mana pesakit, tanpa mengira latar belakang atau kewarganegaraan mereka.

“Ini selaras dengan etika KKM dan budaya korporat ‘Merawat, Profesionalisme dan Kerja Berkumpulan’,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, pada dasarnya, Jabatan Kecemasan yang diamalkan di semua hospital kerajaan, tidak memohon pembayaran lebih awal sebelum apa-apa rawatan dijalankan untuk kes kritikal termasuk kes membabitkan warga asing.

“Jadi, saya menafikan bahawa kes ini adalah disebabkan kelewatan ambulans atau masalah pembayaran.

“Pihak hospital sedaya upaya melakukan yang terbaik untuk semua pesakit yang mendapatkan rawatan.

“Saya menyeru supaya semua pihak menghormati profesion sektor kesihatan terutamanya di Johor tanpa memberikan gambaran negatif tanpa mendapat gambaran sebenar,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kesal dengan penyiaran berita seumpama itu yang akan memberikan tekanan terhadap motivasi kerja semua kakitangan sektor kesihatan.

Sumber: Metro

Loading...

Leave a Reply