‘Polis pesan jangan cari pasal’: Jangan bawa pemetik api, payung, bahan letupan dan botol air minuman

PENYOKONG Malaysia dan Indonesia akan melalui pemeriksaan ketat polis di pintu masuk Stadium Shah Alam, hari ini.

Ini bagi mengelak insiden tidak diingini sempena separuh akhir bola sepak Sukan SEA KL2017.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, berkata penyokong akan menjalani pemeriksaan pengimbas badan bagi memeriksa barang larangan.

Katanya, ini termasuk bahan letupan atau senjata tajam yang mungkin dibawa penyokong kedua-dua pasukan.

Menurutnya, pintu stadium dibuka pada kira-kira 4 petang.

Beliau berkata, polis pihaknya akan menahan terus mana-mana penyokong yang didapati membawa bahan larangan berkenaan.

“Selain bahan letupan, polis akan menahan mana-mana penyokong yang membawa pemetik api, payung dan botol air minuman ke dalam stadium.

“Namun, mereka akan dibenarkan masuk kecuali penonton yang membawa bahan letupan.

“Penyokong dinasihatkan datang awal bagi mengelak kesulitan termasuk kesesakan lalu-lintas.

“Kami takut pemeriksaan ketat di pintu masuk turut akan menjadi punca mereka lambat dibenarkan masuk ke dalam stadium,” katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, selain polis Kontinjen Selangor, pihaknya juga akan dibantu polis Bukit Aman bagi memastikan kawalan keselamatan berada pada tahap maksimum.

“Penyokong Indonesia dikehendaki masuk melalui Pintu A, manakala penyokong Malaysia masuk melalui Pintu B, C dan D.

“Lebih 80,000 penyokong dijangka membanjiri Stadium Shah Alam.Kepada penyokong, elak provokasi dan nikmatilah perlawanan dengan semangat kesukanan yang tinggi,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Loading...

Leave a Reply