Pelajar histeria cuba terjun dari tangki air seru nama Saravanan

“Dia meracau dalam bahasa yang saya tak fahami sambil memanggil nama Saravanan,” kata saksi kejadian seorang pelajar perempuan yang cuba terjun dari sebuah tangki air di sebuah sekolah, di sini, semalam.

Seru nama Saravanan: Pelajar cuba terjun tangki air

Saksi dikenali sebagai Jaafar, 49, berkata, dalam kejadian sekitar jam 10.30 pagi itu, remaja tingkatan empat berkenaan dipercayai diserang histeria dan dilihat berada di tangki air berketinggian lebih 18 meter sambil meracau.

“Saya dengar dia sebut nama Saravan berulang kali dan macam nak terjun. Ketika itu ramai guru dan pelajar cuba pujuknya turun, tapi tak diendah,” katanya.

Kejadian berkenaan disedari pelajar sekolah terbabit yang melihat mangsa memanjat tangki air tidak berpagar ketika sesi pembelajaran sedang berlangsung.

Difahamkan, remaja itu kelihatan murung sejak kelmarin sebelum tiba-tiba lari dari kelas menuju ke tangki air yang terletak bersebelahan bangunan asrama sekolah.

Jaafar berkata, beberapa guru dan pelajar lelaki mengambil langkah keselamatan awal dengan meletakkan tilam yang sering digunakan untuk sukan lompat tinggi di bawah bangunan tangki itu.

“Pihak sekolah juga panggil pengamal perubatan Islam bagi membantu,” katanya.

Remaja terbabit berjaya diselamatkan anggota Bomba dan Penyelamat Bagan Serai yang menerima panggilan kira-kira jam 10.55 pagi.

Ketua Operasi, Nasir Wahab berkata, seramai tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dan sebaik tiba, mangsa dalam keadaan meracau dan meniti bahagian pengadang jalan tangki air.

“Anggota mengambil masa kira-kira 10 minit memujuk mangsa, namun gagal. Dalam tempoh itu, mangsa dilihat nekad untuk terjun.

“Apabila mangsa cuba untuk turun tangki air itu, anggota terus menerpa mangsa dan membawanya turun sebelum diserahkan kepada pihak sekolah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, ketika kejadian, mangsa tidak berpakaian seragam sekolah, hanya berseluar sukan, baju T lengan panjang dan tidak memakai kasut.

“Tiada sebarang alatan mahupun senjata berbahaya dibawa bersama,” katanya.

Katanya, operasi tamat pada jam 11.38 pagi.

 

Sumber: Sinar Harian

Loading...

Leave a Reply