Aliff Syukri terpaksa tidur hotel trauma bibik curi RM100ribu, tawar RM5,000 kepada siapa yang beri maklumat sehingga tertangkap 4 bibiknya

ADA rumah besar pun tak guna! Itulah kesimpulan yang dapat dibuat terhadap pengasas produk kecantikan, Datuk Aliff Syukri yang terpaksa tidur di hotel gara-gara trauma kerana barangan berharga dan wang tunai bernilai RM100,000 miliknya dikebas orang gaji.

Malah usahawan itu sanggup menawarkan wang tunai sebanyak RM5,000 kepada orang ramai yang dapat memberi maklumat sehingga tertangkapnya empat orang gajinya itu yang sudah cabut lari.

Tawaran itu dikongsi beliau menerusi satu rakaman video berdurasi 6.14 saat yang dimuatnaik di laman Facebook miliknya ‘Aliff Syukri Terlajak Laris’ pada malam Ahad.

Kata Alif, dia termakan pujuk rayu pembantu rumahnya yang mencuri agar tidak melaporkan hal berkenaan kepada polis namun sebaliknya mereka telah melarikan diri.

“Apabila kes pembantu saya mencuri saya memang naik marah dan mereka merayu untuk tidak dihantar polis. Saya termakan pujuk rayu atas dasar balas kesian sesama manusia. Tetapi bila mereka bertiga dan seorang lelaki iaitu suami salah seorang daripada mereka sebagai tukang kebun pun turut berkerjasama untuk mencuri wang, jam dan cincin saya bernilai RM100k, saya tidak lagi percaya pada bibik yang gaya bak malaikat.

“Saya tekad melaporkan perkara ini pada polis walapun saya tidak sampai hati. Saya menyeru polis menangkap dan membenteras mereka yang sedang berlegar-legar di sini supaya tidak ada lagi orang yang terkena nasib seperti saya. Telefon saya yang lama juga hilang anda boleh menghubungi nombor telefon pengurus saya di profile jika ada sebarag urusan yang serius,” tulisnya.

 

Dalam rakaman video itu, Aliff yang ditemani isterinya Datin Nur Shahida Mohd Rashid menawarkan wang tunai RM5 ribu kepada orang ramai yang berjaya memberi maklumat sehingga tertangkapnya pencuri berkenaan.

Dalam pada itu pada posting terbaru di Instagram miliknya, beliau memuatnaik sekeping gambar bersama seorang anak sedang tidur di bilik hotel kerana trauma dengan kejadian kecurian tersebut.

“Trauma. Saya takut tidur di rumah sendiri dan saya sekeluarga terpaksa tidur di hotel. Bibik pernah bawa jantan tidur rumah ketika saya tiada dan mencuri. Malah tukang kebun saya orang Malaysia tahu tetapi tidak maklumkan kepada saya kejadian ini sebaliknya bersekongkong membelikan telefon dan topup mereka selama ini. #tolongberkasmaidsaya,” tulisnya lagi.

Terdahulu, kisah ‘Bibik Pencuri’ menjadi perhatian dan bualan netizen apabila Aliff bertindak mendedahkan perkara tersebut menerusi ‘live video’ di sosial media miliknya pada Rabu lalu.
Sumber: MStar

Loading...

Leave a Reply