Bongkah kayu atas jalan raya sebabkan kematian, Mahkamah arah PLUS bayar RM158,961

MAHKAMAH Sesyen Sivil Ipoh hari ini mengarahkan Plus Malaysia Berhad (PLUS) membayar sebanyak RM158,961 kepada balu pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Allahyarham Imran Kamali Ahmad Nadzirin, 45, yang maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Kilometer 342.6 Lebuhraya PLUS arah selatan di Tapah akibat melanggar bongkah kayu pada 29 April 2015.

Hakim Sunita Kaur Jessy, mengarahkan bayaran itu dibuat selepas mendapati tuntutan plaintif Hawa Liyana Hashim, 34, adalah 100 peratus munasabah.

Sunita Kaur mengarahkan PLUS membayar RM145, 961 sebagai pampasan dan RM3,000 kos pengebumian serta RM10,000 sebagai kos berkabung isteri.

Hawa Liyana yang diwakili Sukhdave Singh memfailkan saman terhadap PLUS pada Oktober 2016 dan kes berkenaan dibicarakan selama sehari pada 22 Mei lalu dengan pihak plaintif memanggil dua saksi, manakala PLUS yang diwakili Siti Aimuni Abd Latif mengemukakan tiga saksi.

Dalam kejadian 11.45 pagi 29 April 2015 mangsa, Imran Kamali yang dalam perjalanan pulang dari bertugas untuk Pilihan Raya Kecil (PRK), Permatang Pauh, Pulau Pinang dengan menunggang motosikal Harley Davidson terbabas selepas dipercayai terlanggar bongkah kayu di lebuh raya berkenaan dan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Sementara itu, Hawa Liyana yang ditemui di luar mahkamah melahirkan bersyukur atas keputusan itu yang dianggapnya membela kematian Allahyarham.

“Harap pihak yang berkenaan tidak cuai dalam memastikan keselamatan pengguna lebuh raya terutama membabitkan objek-objek asing di atas lebuh raya yang membahayakan nyawa pengguna,” katanya.

Menurutnya, ketika kemalangan itu berlaku dia sedang mengandung lima bulan dan Allahyarham meninggalkan dua cahaya mata perempuan berusia 8 dan 2 tahun selain arwah turut mempunyai dua lagi anak berusia 18 dan 16 tahun hasil perkahwinan pertama.

 

Sumber: Harian Metro

Loading...

Leave a Reply