Dalam tempoh 6 bulan dari sekarang, semua peniaga online wajib berdaftar dengan SSM

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan mewajibkan semua peniaga dalam talian yang menjalankan perniagaan melalui pasaran dalam Internet atau menerusi syarikat e-dagang seperti Lazada, berdaftar dengan SSM dalam tempoh enam bulan akan datang.

Dalam tempoh 6 bulan dari sekarang, semua peniaga online wajib berdaftar dengan SSM

Dalam tempoh 6 bulan dari sekarang, semua peniaga online wajib berdaftar dengan SSM

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner berkata langkah berkenaan, yang turut menepati Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, bertujuan melindungi pengguna daripada ditipu selain memberi jaminan kepada pembeli.

“Langkah ini dimulakan dengan peniaga dalam talian yang menjual produk atau barangan menerusi platform Lazada dan akan diperluaskan bagi pasaran dalam Internet antaranya Fashion Valet dan sebagainya.

“Usaha ini akan kita lakukan menerusi memorandum persefahaman dengan syarikat e-dagang yang ada di negara ini secara berperingkat,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengagihan zakat korporat SSM di sini, malam tadi.

 

Turut hadir anggota Parlimen Tangga Batu, yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah serta Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Jamil Salleh merangkap Pengerusi SSM.

Mengulas lanjut, Zahrah berkata SSM akan memberi tempoh selama 30 hari kepada peniaga untuk mendaftar dengan suruhanjaya itu.

Beliau berkata, syarikat e-dagang turut dikehendaki memantau pendaftaran peniaga yang bernaung di bawah perniagaan mereka, dan peniaga yang gagal berbuat demikian akan digugurkan daripada menyertai platform dalam talian tersebut.

“Peniaga yang tidak mendaftar boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman dua tahun penjara atau denda RM50,000 atau kedua-dua sekali,” katanya.

Terdahulu pada majlis itu, SSM menyampaikan sumbangan zakat korporat SSM berjumlah RM70,000 kepada 250 golongan asnaf serta sumbangan kepada 12 masjid di kawasan Parlimen Tangga Batu. – BERNAMA

Sumber: Mynewshub

Loading...

Leave a Reply