Isu RM4.09 seliter, Menteri minta Shell buktikan kesilapan

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan bertemu pengurusan Shell Isnin ini, berhubung kejadian pengguna dikenakan caj RM4.09 bagi seliter petrol RON95 di Pulau Pinang malam tadi.

Beliau berkata pertemuan akan diadakan di kementerian bagi membolehkan Shell mengemukakan surat tunjuk sebab dan membuktikan masalah teknikal yang didakwa punca perkara itu berlaku.

Kementerian juga akan mengadakan siasatan sendiri bagi menentukan ia berpunca daripada masalah teknikal atau sebab lain.

“Walaupun Shell mengaku ia masalah teknikal dan meminta maaf, saya masih mahu mereka membuktikan ia adalah masalah teknikal. Kesilapan adalah kesilapan.

“Kita tidak menerima banyak aduan, namun satu aduan sudah cukup untuk kita menyiasat,” katanya diminta mengulas perkara itu di Sepang, hari ini.

Ditanya bagaimana wang pengguna akan dipulangkan, Hamzah berkata pihak pengurusan Shell berjanji memulangkan wang itu.

Posting Facebook menyiarkan seorang pelanggan mengisi keretanya dengan RON95 selepas tengah malam di sebuah stesen minyak di Pulau Pinang, dikenakan caj RM4.09 seliter, bukannya RM2.08, dengan turut memuatkan gambar resit bayaran itu.

Pada Rabu, harga minyak petrol RON97 dan RON95 naik 7 sen manakala diesel 4 sen menjadikan harga RON95 ialah RM2.08 seliter, RON97 (RM2.36) dan diesel (RM1.99).

 

Sumber: Harian Metro

Loading...

Leave a Reply