Diberi gaji RM4,400 hanya untuk duduk atas sofa

Seorang wanita berusia 26 tahun menganggap dirinya paling bernasib baik apabila memperoleh pekerjaan sebagai penguji sofa.

Anna Cherdantseba yang berasal dari Ufa di Republik Bashkortostan di Russia kini akan menghabiskan masa 10 jam sehari untuk menguji sofa baru.

Tugas utamanya ialah untuk menilai keselesaan dan keselamatan sofa yang dikeluarkan syarikat perabot terkenal Russia, MZ5 Group.

Syarikat berkenaan bulan lalu mengiklankan jawatan itu yang menyaksikan lebih 5,000 orang memohonnya.

Walaupun semua produk barunya diuji dalam makmal khas, pihak pengurusan berkata, mereka memerlukan seorang penguji profesional bagi memenuhi kehendak pengguna.

“Kami memilih calon dalam beberapa peringkat. Selepas menyenarai pendek senarai pemohon, tujuh dipanggil untuk temuduga dan Anna, pakar pemasaran, terbukti paling layak untuk memegang jawatan berkenaan,” kata jurucakap MZ5 Group.

Anna pula berkata, ia memang mengimpikan jawatan berkenaan dan mempunyai banyak idea untuk meningkatkan keselesaan sofa tetapi enggan bercakap mengenainya ketika ini.

Walaupun menjalani kehidupan aktif seharian, Anna bagaimanapun berkata, dia tidak kisah dan tidak akan bosan menghabiskan masa 10 jam di atas sofa.

Dia kini menjalani latihan dengan gaji permulaan sebanyak 56,000 ruble (RM4,400) untuk tiga bulan pertama. – Agensi

 

Sumber: Harian Metro

Loading...

Leave a Reply