Yatt Hamzah terkejut Usraf Fitrah dibubarkan tanpa pengetahuannya sebagai pengasas

Pelopor Usraf Fitrah (UF), Yatt Hamzah, menganggap pembubaran pergerakan wadah perjuangan Islam dan penganjuran aktiviti kerohanian terbabit sebagai tidak sah.

Menurutnya, beliau sendiri tidak tahu-menahu mengenai mesyuarat yang diadakan oleh pucuk pimpinan dan anggota jawatankuasa (AJK) pada 8 Januari lalu, yang membawa kepada keputusan membubarkan pertubuhan itu.

“Saya dan ramai lagi AJK lama UF menganggap pembubaran ini tidak sah kerana kami tidak tahu-menahu mengenai mesyuarat terbabit sehingga pergerakan ini dibubarkan. Alih-alih, saya dapat tahu ia dibubarkan.

“Saya, yang masih dalam tempoh berpantang, amat terkejut dengan berita itu. Tidak adil bagi saya dan yang lain tak dimaklumkan mengenai hal sebenar.

“Memang tidak ramai yang tahu mengenai mesyuarat pembubaran itu, malah ramai yang tidak bersetuju dengan pembubaran berkenaan. Jadi, saya dan yang lain anggap ia seperti salah faham. Justeru, janganlah terlalu cepat melatah,” katanya kepada BH Online.

Sebagai antara selebriti pertama menggerakkan pertubuhan terbabit, Yatt yang bertanggungjawab menganjurkan Usrah Suci berkata, perjuangan UF tetap teguh dan berjalan seperti biasa.

“Insya-Allah, perjuangan dakwah tetap diteruskan seperti biasa. Mungkin yang perlu dibubarkan ialah AJK dan bukannya UF. Pergerakan ini tetap di hati saya, begitu juga dengan yang lain. Kelas usrah masih berjalan seperti biasa,” katanya bersemangat.

Semalam, BH Online menerima kenyataan media mengumumkan pembubaran UF, hasil perjumpaan khas yang diadakan pada 8 Januari lalu.

Menurut Yatt, idea penubuhan UF tercetus ketika dirinya bersembang dengan pelakon, Irma Hasmie, di lokasi drama.

“Ketika itu Irma sudah pun berhijrah dan saya pula meminta pandangannya sebelum mengambil langkah sama. Kemudian kami sepakat menubuhkan UF.

“Selepas perbincangan itu, Irma berjumpa dengan Ustaz Rusydi Ramli Al Jauhari (pengasas) untuk meminta pandangan dan nasihat beliau. UF asalnya ditubuhkan dengan hanya empat ahli terawal iaitu Irma, Siti Nordiana, Eenaz Mohktar dan saya.

“Insya-Allah selepas ini kami akan jadi lebih kuat dan mantap walaupun hanya tinggal beberapa orang yang meneruskannya. Ia tetap menjadi nadi semangat dan rantai penyambung dakwah Rasulullah yang wajib kita teruskan walau apa terjadi,” kata Yatt.

Menerusi bantuan Yatt, BH Online turut mendapatkan kenyataan daripada Murabbi Persatuan Usrah Fitrah Malaysia (PUFM), Ustaz Zul Ramli M Razali.

“Pertubuhan yang bergerak aktif sekarang ialah PUFM yang baharu setahun didaftarkan sebagai badan bukan kerajaan. PUFM menganjurkan kelas pengajian agama setiap Isnin, 9 malam, di Masjid Usamah bin Zaid.

“Antara program yang sudah pun dilaksanakan termasuk Himpunan Artis Sayang Al-Quran (HASA), malah banyak lagi aktiviti sedang dirancang,” katanya.

 

Sumber: BH Online

Loading...

Leave a Reply