Pemandu teksi caj tambang RM800 dibatalkan lesen dan permit

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah membatalkan lesen pengendali dan lesen kenderaan pemilik teksi yang dipercayai mengenakan tambang RM800 kepada dua pelancong Perancis tahun lepas.

SPAD dalam kenyataan pada Rabu berkata ini berikutan siasatan terhadap aduan pelancong itu yang telah dikenakan tambang tersebut bagi satu perjalanan dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) ke Masjid Negara, di sini.

“SPAD juga akan memulakan tindakan perundangan terhadap pengendali terlibat. Sekiranya didapati bersalah, pengendali boleh dikenakan hukuman denda dan/atau penjara dan kenderaan terlibat boleh dilucutkan hak.

“Individu berkenaan juga turut disenarai hitamkan bagi menghalang beliau daripada mendapatkan lesen pengedali pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.

SPAD berkata pembatalan itu dilakukan kerana pengendali tersebut didapati mengingkari keperluan di bawah Seksyen 22 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD).

“Seksyen itu memperuntukkan hanya seorang pemandu sah yang berdaftar dengan SPAD sahaja dibenarkan memberi perkhidmatan teksi dan juga mewajibkan penggunaan meter bagi menentukan tambang teksi bajet serta menyatakan keperluan pengeluaran resit bagi perjalanan,” menurut kenyataan itu.

SPAD juga berkata kedua-dua pemandu yang berdaftar di bawah lesen pengendali itu tidak memperbaharui kad pemandu mereka yang telah luput. – BERNAMA

 

Sumber: MStar

Loading...

Leave a Reply