Isu bahasa Inggeris: Mulut orang bukan tempayan, Faiz Subri

Isu kefasihan penyerang Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri berbahasa Inggeris ketika memenangi Anugerah Puskas Fifa 2016 tiba-tiba menjadi perbualan di kedai-kedai kopi.

Ketika orang ramai sepatutnya memuji pencapaiannya berada di pentas berprestij itu, lain pula jadinya apabila isu kefasihan bahasa pula menjadi tajuk utama perbualan.

Anehnya, mereka yang tidak pernah mengikuti perkembangan bola sepak tempatan, tiba-tiba menunjukkan minat dan memberikan ulasan seperti pengulas sukan yang handal.

Sebelum itu, persoalan sama ada Mohd Faiz harus memakai baju Melayu ketika berada di Zurich, Switzerland turut menjadi perdebatan hangat terutama di media sosial.

Memang tidak salah untuk memakai pakaian tradisional bagi menunjukkan perasaan bangga dan semangat jati diri.

Namun keputusan tersebut juga perlu mengambil kira beberapa faktor mengikut kesesuaian, tempat dan keadaan.

Bukanlah bermakna Mohd Faiz akan hilang jati diri sebagai rakyat Malaysia sekiranya dia tidak berbaju Melayu ketika mengambil anugerah berkenaan.

Oleh itu apabila dia membuat keputusan membatalkan hasrat memakai baju tradisional itu, ia tidak seharusnya menjadi isu yang perlu diperbesarkan.

Berbalik kepada isu kefasihan bahasa Inggeris Mohd Faiz, hasrat untuk berucap dalam bahasa  Melayu mula disuarakan sejak sebulan yang lalu.

Niat itu menggambarkan keyakinan tinggi dirinya untuk bercakap dalam bahasa kebangsaan, selain mungkin menyedari kelemahan bertutur dalam bahasa Inggeris.

Malangnya, hasrat itu terhalang kerana Fifa hanya membenarkan ucapan dibuat dalam bahasa Inggeris, Perancis dan Sepanyol.

Justeru, apabila pemain tersebut naik ke pentas untuk memberikan ucapan dalam bahasa yang asing bagi dirinya, terdapat sesetengah pihak yang mempertikaikan kefasihannya.

Tetapi adakah isu Mohd Faiz tidak fasih berucap dalam bahasa berkenaan benar-benar merupakan satu masalah besar bagi kita?

Bahasa Inggeris penting tapi..

Tidak dapat dinafikan bahasa Inggeris sebagai lingua franca dan bahasa penghubung yang penting kerana penggunaannya yang meluas di serata dunia.

Kepentingan bahasa Inggeris dalam dasar pendidikan negara juga tidak harus diketepikan dan dipandang remeh.

Tetapi kefasihan dalam berbahasa Inggeris bukan segala-galanya.

Kebolehan dan bakat seseorang tidak boleh diukur semata-mata kerana penguasaan dalam bahasa itu.

Sekiranya kita menoleh ke negara-negara maju yang tidak berkiblatkan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya, sudah pasti kita akan melihat ucapan Mohd Faiz sebagai perkara biasa dan tiada apa yang hendak dimalukan.

Bukan bahasa Inggeris menjadikan China sebuah kuasa besar ekonomi. Bukan bahasa Inggeris faktor melayakkan Korea Selatan dan Jepun ke Piala Dunia.

Dan bukan bahasa Inggeris menjadikan Ronaldo sebagai bintang bola sepak terkenal.

Inspirasi anak muda

Ia bukan sesuatu yang mudah untuk mencipta jaringan tercantik seperti yang berjaya dilakukan Mohd Faiz.

Kemenangannya di pentas Puskas merupakan satu perkara yang perlu kita banggakan dan seharusnya menjadi inspirasi kepada anak-anak muda yang berminat dalam bidang sukan terutamanya bola sepak.

Daripada seorang budak kampung yang berasal dari Ayer Hitam Kedah, Mohd Faiz berjaya melakar namanya sebagai pemenang Anugerah Puskas pertama dari Asia.

Sesiapapun yang berada di tempat Mohd Faiz pasti akan merasa gementar untuk berucap di hadapan bintang-bintang bola sepak terkenal dan orang-orang besar Fifa itu.

Bagaimanapun, persediaan rapi adalah sangat penting sebelum menghadiri acara gemilang seperti itu.

Misalnya, sebaiknya pemain berusia 29 tahun itu membacakan teks yang telah disediakan di dalam kad ucapan berbanding membacanya menerusi telefon bimbit.

Apapun, biarlah kelemahan ini menjadi pengalaman berharga Mohd Faiz agar dia lebih peka dan bersedia pada masa depan.

Majukan diri

Kepada Mohd Faiz, anda tidak perlu menghiraukan sindiran tajam atau tohmahan orang lain yang kurang menyenangkan.

Seperti tempayan, mulut manusia memang sukar ditutup. Anggap sahaja kata-kata sindiran seperti debu yang berterbangan dan akan hilang apabila hujan datang.

Apa yang penting bagi Mohd Faiz adalah memajukan diri dan konsisten dalam permainan bola sepak. Jangan mudah merasa selesa dengan pencapaian yang diperolehi dan sentiasa mahu memperbaiki kelemahan diri. Itulah perkara yang lebih penting dan mustahak.

Siapa tahu jika layak beraksi di Eropah satu hari nanti, penguasaan bahasa Inggeris Mohd Faiz Subri mungkin lebih baik berbanding orang-orang yang mengutuknya sekarang?


RUSNIZAM MAHAT adalah anggota sidang redaksi Malaysiakini

 

Sumber: Malaysiakini

Loading...

Leave a Reply