“Penganiayaan buat kami” Yasin dan anggota Brothers belum terima baki bayaran Konsert 3 Kejora Bersatu

Penyanyi Yasin Sulaiman, 42, meluahkan rasa tidak puas hati apabila dia dan anggota kumpulan Brothers belum menerima baki bayaran Konsert 3 Kejora Bersatu yang berlangsung di Istana Budaya pada 7 dan 8 Oktober tahun lalu.

Yasin berkata, sehingga hari ini belum ada sebarang perkembangan mengenai perkara itu.

“Pada peringkat awal kami sudah menerima wang pendahuluan sebanyak 25 peratus daripada jumlah keseluruhan,” katanya kepada Harian Metro.

"Penganiayaan buat kami" Yasin dan anggota Brothers belum terima baki bayaran Konsert 3 Kejora Bersatu

“Penganiayaan buat kami” Yasin dan anggota Brothers belum terima baki bayaran Konsert 3 Kejora Bersatu

Yasin menyifatkan perkara itu sebagai penganiayaan, bukan sahaja kepada penyanyi yang membuat persembahan tetapi juga pemuzik yang menjayakan konsert terbabit.

“Selain kami (Brothers) dan kumpulan lain, 26 pemuzik yang terbabit dalam konsert ini juga belum menerima baki bayaran. Perlu difikirkan komitmen semua pihak bukanlah sedikit.

“Untuk latihan sahaja, memakan masa berbulan lamanya. Penyanyi mungkin boleh menampung hidup dengan persembahan dan sebagainya. Bagaimana pula dengan pemuzik yang mungkin bergantung kepada bayaran itu?” katanya.

Yasin turut memaklumkan pihaknya ada menghubungi penganjur, Kay Event Kay Event Management and Services untuk mendapatkan kepastian mengenai baki bayaran yang belum dilangsaikan itu.

“Kami ada bertanya penganjur dan setiap kali dihubungi mereka akan maklumkan bayaran akan dilunaskan. Pun begitu, tiada kepastian mengenai perkara ini.

“Saya bercadang membawa perkara ini ke tengah sekiranya ia berlarutan lebih lama. Ini adalah penganiayaan terhadap kami,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kay Event Management and Services, Hakime Faizal Zaulkapli ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

“Kami ada masalah berkaitan bayaran artis, pemuzik dan beberapa kos lain. Mungkin ramai tak tahu Konsert 3 Kejora memang tiada penaja dan saya keluarkan modal sendiri sehingga RM200,000.

“Secara keseluruhan, ada RM600,000 ke RM800,000 lagi jumlah tunggakan yang belum saya lunaskan. Pihak saya ada memaklumkan kepada semua artis yang terbabit dengan konsert ini dan faham mereka juga ada komitmen yang perlu diselesaikan,” katanya.

Tambah Hakime, sehingga hari ini dia masih mencari penaja dan pihak yang boleh membantunya melunaskan baki bayaran itu.

“Sejak Oktober 2015, saya tidak berhenti mencari penaja. Sehingga sekarang saya masih berikhtiar dan akan menjual beberapa aset termasuk tanah.

“Saya tak berani berjanji bila akan melangsaikan baki bayaran kerana belum nampak jalan. Jumlah kutipan konsert pula hanya kira-kira RM28,000,” katanya.

Selain Brothers, Konsert 3 Kejora Bersatu turut menampilkan dua lagi legasi nasyid tersohor tanah air iaitu Rabbani dan Hijjaz.

Sumber: Metro

Loading...

Leave a Reply