BR1M terbukti ringan beban hidup rakyat

BANTUAN Rakyat 1Malaysia atau BR1M diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di dalam bajet 2012 pada 7 Oktober 2011. Pada mulanya ia hanya bantuan RM500 ringgit kepada isi rumah berpendapatan bulanan tidak melebihi RM3,000. Setiap tahun selepas itu, BR1M sentiasa diperbaiki hinggalah pada Bajet 2016, nilai bantuan ditambah menjadi RM1,000.

BR1M terbukti ringan beban hidup rakyat

BR1M terbukti ringan beban hidup rakyat

Isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 diberikan RM800. Individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas berpendapatan bulanan tidak melebihi RM2,000 diberi RM400. Semua penerima dalam senarai e-Kasih berpendapatan bulanan di bawah RM1,000 juga diberi RM1,050.

Seperti dijelaskan Najib, BR1M dicadangkan Jawatankuasa Fiskal terdiri daripada jabatan kerajaan, termasuk Bank Negara, Unit Perancang Ekonomi, Kementerian Kewangan dan sebagainya, berdasarkan pelaksanaan inisiatif rasionalisasi subsidi yang mengalihkan secara berperingkat pemberian subsidi pukal yang membawa banyak ketirisan kepada subsidi bersasar untuk kelompok yang betul-betul memerlukannya.

BR1M sangat popular dalam kalangan rakyat. Banyak sekali testimoni betapa BR1M membantu meringankan beban hidup rakyat yang mahu ia diteruskan.

BR1M juga diterima baik ahli ekonomi malah pakar ekonomi ulung negara, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram, yang sangat kritikal dan dijadikan rujukan pakatan pembangkang, memuji BR1M pada 5 November lalu dengan menyatakan ia memberi kesan baik.

Jana ekonomi setempat

Sememangnya pemberian tunai kepada rakyat memberi kesan baik kepada ekonomi negara. Ia meningkatkan daya beli rakyat, sekali gus menjana ekonomi setempat. Ia dilakukan banyak negara, bukan hanya Malaysia. Paling dekat adalah Indonesia oleh Presiden Joko Widodo. Malah, 35 ahli ekonomi Britain, termasuk Lord Robert Skidelsky juga mendesak kerajaan mereka guna kaedah pemberian tunai kepada rakyat bagi merancakkan ekonomi.

Disebabkan penerimaan meluas BR1M, bila isu BR1M ditimbulkan Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad, saya berulang kali mendengar rakaman ucapan beliau pada 23 Disember lalu bagi memastikan kesahihannya. Bagaimanapun, jelas beliau menyebut ‘BR1M itu rasuah’ dan ‘BR1M itu salah’, dari segi agama salah dan dari segi undang-undang negara pun salah”. Tambah beliau lagi, “BR1M itu haram, jangan terima duit haram, kita berdosa”, dan “Takkan kita nak jual undi dengan harga yang begitu murah.”

Semua ini, bila disertakan dengan seruan “eloklah kita musnahkan UMNO”, menunjukkan Dr Mahathir dikuasai emosi dan sentimen kebencian meluap. Menjadi kelaziman beliau mutakhir ini bercakap sesuka hati dan buat pelbagai tuduhan semberono. Beliau seolah-olah lupa antara prinsip penting Rukun Negara ialah Kedaulatan Undang-Undang.

Pada peringkat negara, hukum sesuatu perkara dari segi agama berada bawah bidang kuasa Majlis Fatwa Kebangsaan. Siapa Dr Mahathir untuk ambil alih tugas Majlis Fatwa Kebangsaan sedangkan majlis ini tidak pernah menghukum BR1M salah?

Soal rasuah pilihan raya digariskan dengan jelas di dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Dr Mahathir setakat berani temberang sahaja kononnya BN menang dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar kerana rasuah tetapi tidak berani membawanya ke mahkamah.

Banyak kes rasuah pilihan raya pernah diputuskan seperti kes Re Pengkalan Kota By-Election (1981) oleh Tan Sri Eusoffe Abdoolcader dan kes Wong Hua Seh vs Ding Kuong Hiing (2009) oleh Tun Arifin Zakaria. Jika janji pembangunan bukan rasuah, apatah lagi BR1M.

Hasutan Dr Mahathir supaya rakyat jangan terima BR1M menunjukkan betapa terdesaknya beliau untuk menumbangkan UMNO. Beliau tidak tahu betapa berharganya BR1M kepada golongan miskin. Demi kepentingan peribadi, beliau sanggup ketepikan kesusahan rakyat.

Kenyataan beliau ini juga menggambarkan kecelaruan dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) dan PPBM. Dalam PPBM sendiri, kenyataan beliau jelas bercanggah dengan pendirian Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang pernah berulang kali menyebut BR1M bukan rasuah, sebaliknya pemantapan ekonomi hasil penjimatan subsidi yang disalurkan terus kepada rakyat.

DAP turut terima BR1M

Parti pembangkang paling berkuasa, iaitu DAP, juga menerima BR1M. Selain turut melaksanakan dasar pemberian tunai kepada rakyat Pulau Pinang, pusat khidmat wakil rakyat DAP di seluruh negara diketahui terbabit membantu mengurus permohonan BR1M untuk rakyat.

Dalam perutusan tahun barunya pada 1 Januari lalu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, menyatakan betapa di bawah PH, rakyat masih akan terima BR1M. Begitu juga Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang pernah menyebut dasar BR1M adalah dasar yang boleh diterima.

Satu lagi parti pembangkang, PKR, menyaksikan Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen, menyifatkan BR1M sebagai memberi manfaat kepada rakyat. Ketua Wanitanya, Zuraida Kamaruddin, pula pernah melancarkan kempen tandatangan supaya BR1M turut diberikan kepada suri rumah.

Manifesto Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) juga menjanjikan pemberian tunai kepada rakyat, termasuk RM1,000 setahun kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas dan RM500 sebulan kepada keluarga yang terkesan dengan kejatuhan mendadak harga komoditi.

Jika benar ‘BR1M itu rasuah’ seperti didakwa Dr Mahathir, mengapa pemimpin parti pembangkang menyokong dan terbabit rasuah? PH-PPBM perlu buat pendirian rasmi mengenai dasar pemberian tunai bagi mengelakkan kecelaruan berterusan.

 

Sumber: BH Online

Loading...

Leave a Reply