“Saya tidak perlu terima nasihat daripada seorang pemimpin yang gagal” – TMJ

Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata beliau tidak akan menerima nasihat daripada pemimpin yang gagal berhubung cadangan agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ditadbir secara proksi.

"Saya tidak perlu terima nasihat daripada seorang pemimpin yang gagal" - TMJ

“Saya tidak perlu terima nasihat daripada seorang pemimpin yang gagal” – TMJ

“Baru-baru ini, terdapat satu kenyataan yang dibuat oleh Tan Sri, menggesa agar bola sepak tidak sepatutnya diuruskan melalui proksi dan menyatakan saya perlu menjelaskan pendirian dan membuat keputusan sama ada mahu menerima tugasan tersebut (selaku Presiden FAM) atau tidak.

“Bagi saya, perkara yang terbaik adalah membiarkan ahli-ahli gabungan yang membuat keputusan mengenai apa yang terbaik untuk bola sepak Malaysia dan juga kepada penyokong.

“Pertama sekali, saya tidak perlu untuk menerima nasihat daripada seorang pemimpin yang gagal untuk memimpin,” katanya dalam cacatan di Facebook.

Kenyataan Tunku Ismail adalah jelas merujuk bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang dilapor mempertikaikan pendirian Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) supaya FAM ditadbir secara proksi.

Annuar berkata, cadangan MUSA bagi melantik Tan Sri Aseh Che Mat sebagai presiden badan induk itu untuk membolehkan Tunku Ismail terbabit dalam FAM adalah sama sekali tidak boleh diterima kerana melanggar statut badan induk berkenaan.

“Apakah yang cuba dilakukan? Apakah FAM mahu ditadbir secara proksi? Di mana letak duduk statut FAM sehingga MUSA boleh mencadangkan struktur jawatan yang tidak wujud dalam statut FAM,” kata Annuar seperti dilapor Berita Harian.

MUSA menerusi Timbalan Presidennya, Datuk Yusoff Mahadi dalam satu laporan akhbar berkata pihaknya bersedia untuk memberi sokongan kepada Aseh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM asalkan ia dapat menarik pembabitan Tunku Ismail dalam badan induk bola sepak negara itu.

MUSA berpendapat Tunku Ismail lebih selesa berada dalam FAM sebagai penaung atau penasihat diraja berbanding menjadi presiden, tetapi ahli gabungan perlu memilih Aseh bagi menerajui FAM.

Gagal terajui Kelantan

Mengulas lanjut, Tunku Ismail turut merujuk kegagalan pasukan Kelantan dalam berdepan masalah kewangan ketika diterajui Annuar.

“Setiap kali sebuah kelab bola sepak atau syarikat menghadapi masalah kewangan, ia dipanggil kelemahan pengurusan. Ia juga secara tidak langsung mencerminkan sikap pemimpin tersebut.

“Apabila anda berada dalam kedudukan di mana anda mempunyai banyak penaja, anda sepatutnya menggunakan peluang tersebut untuk melangsaikan semua hutang anda.

“Sebaliknya, anda membuat keputusan dengan mengambil khidmat jurulatih import baru serta tiga pemain import tambahan. Dengan keputusan ini, orang-orang yang menjadi mangsa adalah pemain-pemain tempatan kerana mereka tidak menerima gaji mereka,” kata Tunku Ismail.

Menurut Tunku Ismail, keutamaan sepatutnya diberikan kepada pemain tempatan dan bukannya pemain import.

“Ia jelas menunjukkan bahawa anda terlebih membayar pemain import dan hasilnya, anda tidak mampu untuk mengekalkan kelab.

“Perkara itu tidak berakhir di sini, kita dapat lihat prestasi Kelantan mulai merosot dan cukup jelas bahawa kapal tersebut mulai karam.

“Lebih memburukkan lagi keadaan sebagai nakhoda kapal, anda memilih untuk meninggalkan kapal tersebut, dan membiarkan anak-anak kapal anda menderita. Dan dengan situasi tersebut, anda masih ada keinginan untuk menjadi Presiden FAM,” kata Tunku Ismail.

 

Sumber: Malaysiakini

Loading...

Leave a Reply