Sikap Penyabar Penjaga Gol JDT, Pikat Hati Mia Ahmad

Aktres Mia Ahmad memilih 13 Januari 2017 sebagai tarikh untuk disatukan sebagai suami-isteri dengan penjaga gol JDT iaitu Mohd Izham Tarmizi Roslan.

Mia atau nama sebenarnya Shamiha Ahmad Baderi, 28, berkata, majlis akad nikah mereka akan diadakan di Villa Sentosa, Taiping Perak, pagi Jumaat.

“Alhamudillah, kami membuat keputusan dalam tempoh yang singkat untuk mendirikan rumah tangga iaitu pada 13 Januari depan.

“Majlis pernikahan itu akan diadakan sebelum solat Jumaat di Perak,” ujarnya kepada mStar Online.

Mia ditemui pada sidang media pengumuman majlis pernikahan di Flora Terrace di sini pada Jumaat yang turut ditemani bakal suaminya, Mohd Izham.

Sementara majlis resepsi sebelah perempuan pula akan diadakan sehari selepas akad nikah iaitu di Kelab Golf Taiping, pada 14 Januari.

Terdahulu, keluarga Izham datang menghantar rombongan merisik Mia dalam satu majlis ringkas yang diadakan pada dua minggu lalu.

Katanya lagi, dia terpaut hati dengan pemuda berusia 25 tahun itu kerana Mohd Izham seorang yang penyabar dan memahami kerjayanya sebagai seorang pelakon.

“Dia seorang yang tidak memeningkan kepala saya dan memahami jadual saya yang sibuk dengan penggambaran.

“Lagi pula, cara dia memikat saya tanpa putus asa memikat hati saya untuk menjadikan dia teman hidup,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengenai persiapan perkahwinannya pula, ia sudah pun berjalan hampir 80 peratus.

Sementara itu, Mia berkata dia bakal menganjurkan majlis resepsi sebelah lelaki pada bulan Mac 2017 di Terengganu. Manakala majlis untuk rakan-rakan di Kuala Lumpur akan diadakan pada hujung Januari ini.

 

Sumber: Mstar

Loading...

Leave a Reply