Wanita bawah 40 tahun jadi sasaran suami melepaskan kemarahan, dilempar dengan kata-kata kesat, diugut dan dikasari secara mental dan fizikal

Wanita berusia 22 hingga 39 tahun kerap menjadi sasaran keganasan rumah tangga yang berpunca daripada pasangan gagal mengawal sikap panas baran keterlaluan mereka, menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ketua penolong pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan JKM Sulaimah Daud berkata daripada 199 kes yang dikendalikan oleh jabatan itu setakat Januari hingga Mac tahun ini, 118 daripadanya melibatkan mangsa wanita daripada kumpulan umur itu.

Wanita bawah 40 tahun jadi sasaran suami melepaskan kemarahan, dilempar dengan kata-kata kesat, diugut dan dikasari secara mental dan fizikal

Wanita bawah 40 tahun jadi sasaran suami melepaskan kemarahan, dilempar dengan kata-kata kesat, diugut dan dikasari secara mental dan fizikal

“Wanita pada usia itu sering menjadi tempat untuk pasangan melepaskan kemarahan, dilempar dengan kata-kata kesat, diugut dan dikasari secara mental dan fizikal.

“Kes paling tinggi dirujuk ke jabatan itu adalah sengaja atau cuba meletakkan mangsa dalam keadaan ketakutan akan dicederakan iaitu sebanyak 85 kes, 79 kes menyebabkan kecederaan fizikal dan 12 kes penderaan secara psikologi dan emosi,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata mengikut Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, JKM berperanan menjelaskan mengenai hak untuk mendapatkan perlindungan kepada mangsa dan membantu mangsa untuk membuat laporan polis dan pemeriksaan perubatan.

Sulaimah berkata JKM juga berperanan membantu mangsa mendapatkan perintah perlindungan interim atau perintah perlindungan dan memberikan perlindungan sementara kepada mangsa yang memerlukan tempat yang selamat.

“Mangsa perlu segera melaporkan kejadian di mana-mana balai polis dan jika mangsa dicederakan, mereka perlu membuat pemeriksaan di hospital atau klinik kerajaan serta melaporkan diri ke Pejabat Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Beliau berkata berikutan masalah ekonomi rumah tangga dalam usia perkahwinan yang masih muda, perselisihan faham sering berlaku sehingga menyentuh perasaan atau menyakitkan hati mangsa.

“Mangsa berdepan dengan pasangan yang gagal menunaikan tanggungjawab seperti mencari nafkah kerana terbabit dengan gejala penagihan dadah dan mangsa memohon perceraian.

“Terdapat kes di mana suami meletakkan senjata berbahaya seperti pistol dan parang di dalam bilik tidur atau di pintu untuk menakutkan isteri.

“Ada juga kes mangsa dikasari sehingga mendatangkan kecederaan kerana dipukul,” jelasnya.

Beliau berkata kes lain ialah perbuatan khianat pasangan yang sengaja mahu membuatkan mangsa berasa sedih dan gusar dengan memusnahkan atau merosakkan harta, penderaan seks dan mengurung atau menahan mangsa tanpa rela.

Sementara itu, pakar psikologi Jabatan Psikologi Perkembangan Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya, profesor madya Dr Mariani Mohd Nor berpendapat wanita cenderung menjadi mangsa kerana pasangan mereka yang bersikap panas baran tidak mempunyai kewarasan berfikir secara rasional.

“Masalah timbul apabila pasangan tidak bersikap jujur, hilang kepercayaan terhadap pasangan, hilang rasa kasih sayang hingga hubungan semakin renggang.

“Kebanyakan pasangan bertindak di luar batasan kerana banyak urusan yang belum selesai termasuk tekanan hidup seperti masalah di tempat kerja, masalah kewangan, memendam perasaan dan kemurungan,” katanya.

Beliau seterusnya berkata komunikasi yang baik antara pasangan amat penting bagi mengelakkan perselisihan faham dan pertelingkahan. — Bernama

Sumber: Malay Mail

Loading...

Leave a Reply