“Aku tetap akan beraya di kampung walaupun seorang diri” – Tekad lelaki ini

Aku anak bongsu dari tujuh beradik. Seorang perempuan, kakak aku. Semua dah kahwin, kecuali aku. Ibu bapa dah meninggal. Jadi, kehidupan aku lebih pada sendiri-sendiri. Raya sendiri-sendiri. Sejujurnya aku amat merindui kenangan lama.
iiumc
Aku kerja di ibu kota, boleh dikatakan agak stabil. Aku selalu habiskan masa aku sibukkan diri, sebab aku sebolehnya mahu melupakan nasibku. Dulu, kami keluarga besar, ikatan kekeluargaan yang kuat, sekarang…

Ingat lagi aku, sewaktu kecil, mak aku berniaga di bazar Ramadan. Tugas aku beli barang, abang aku bakar kuih Akok, ada yang tolong mesin kelapa, kakak aku buat rojak. Sungguh, gembira sangat-sangat.

Bapa aku seorang yang kelakar. Suka buat lawak, cerita dia tak pernah buat aku kering gusi. Dia suka mengajuk bahasa Tamil bila dia acah-acah jadi bomoh nak ubatkan luka aku. Kira jampilah. Hahaha.. Dulu, arwah bapa aku sedaya upaya memerhati untuk cari buah durian, bila tibanya musim durian masa bulan puasa. Sanggup pergi cari durian, nak bagi anak-anak makan. Dia? Cukup sekadar tengok anak makan…

Mak aku orang yang paling aku sayang, di buatnya juadah sedap-sedap sebab aku berpuasa. Boleh dikatakan menu setiap hari ditetapkan oleh aku. Bab makan aku ada kuasa veto beb. Haha

Abang aku yang sulung, cool and steady. Aku tak ada sangat memori masa kecil dengan dia, sebab beza umur kami jauh. Aku baru mula nak ingat, dia dah sambung belajar di universiti. Bagi aku dia seorang yang lucu dan kelakar. Sama macam karakter bapa aku.

Abang aku nombor dua warna metalik (if you know what I mean) Dia suka bawa aku jalan-jalan naik basikal. Bawa pergi memancing dan sebagainya. Benda-benda berat biasa dia yang buat. Aku kecil lagi, jadi aku tukang tengok.

Kakak aku pula suka berniaga, dari kecill tolong mak berniaga. Duit dia yang paling banyak. Sampai sekarang pun dia masih berniaga. Kecil-kecil dulu dia tukang isi borang, sebab tulisan cantik dan semua nama, kad pengenalan dan surat beranak adik-beradik dia ingat.

Abang aku nombor tiga lembut dan tegas. Dia suka masak, sebab suka tolong mak kat dapur. Dan dia paling cerewet. Benda mudah pun dia memilih, kalau boleh semua benda nak sempurna.

Abang aku yang keempat paling pendiam dan suka menyendiri. Tapi bila disuruh buat, dia buat saja. Kecil-kecil dulu obses dengan pistol, senapang. Di tangan tak lekang dengan senapang.

Yang ini kelakar, abang aku yang kelima, satu-satunya abang aku yang suka main seorang diri, dia punya imaginasi siap gaya macam Dragonball Super Saiya, berlari hadapan cermin macam Watson Nyambek. Kalau tinju hebat macam Sapok Biki. Aku suka tengok, kemudian gelak guling-guling.

Akhir sekali, aku. Hahaha. Aku anak bongsu, dan sudah tentu paling manja. Tetapi tak semua yang aku nak aku dapat. Iyalah, keluarga aku bukan senang. Tapi aku sayang sangat keluarga aku.

Tapi, itu dulu…

Bila ibu bapa dah tak ada, semua bawa haluan masing-masing. Semua dah kahwin, jadi mereka luangkan masa dengan keluarga mereka pula. Aku saja yang bujang. Aku kalau boleh tak nak balik kampung, tak nak ingat kisah silam, sebab ia buat aku sedih. Rindu pada ibu bapa.

Semalam aku balik kampung, jiran aku terkejut, sebab dah lama tak balik. Aku rancang nak beraya di rumah, walaupun tiada seorang pun dari ahli keluarga aku yang balik beraya nanti. Mereka semua dah beritahu tak balik awal-awal. Lagipun aku tak kisah sangat, aku cuma rindu suasana puasa yang dulu. Meriah bersama, nak makan ketupat mak, dengar celoteh ayah, ragam abang-abang dan kakak.

Hari ni, lepas sahur, aku duduk bersandar, dekat tiang seri rumah aku, tiang cengal rumah kayu. Dalam fikiran aku terbayang kami anak beranak bersuka ria. Bapa aku tengok berita, abang aku berlari depan cermin almari pakaian, abang aku pijak belakang mak aku, urut mak aku sambil pegang almari, kakak aku isi borang one-off, abang aku dengan pistolnya asyik tembak cicak, yang sulung buat kerja sekolah dan yang nombor dua makan nasi di dapur. Aku pula duduk mengaji dekat ruang tamu, sambil bersandar dekat tiang kegemaran aku. Tiang cengal.

Aku amati setiap inci rumah, menggamit kenangan silamku yang takkan aku lupa. Andai boleh di putarkan waktu, sudah tentu akulah orang yang paling gembira. Kepada yang masih ada, janganlah lupa untuk hargai…

Tiang cengal rumah kayu.
Alfatihah mak.
Alfatihah ayah.

– Bongsu

Kredit: IIUMC

 

 

Via : Amazing nara

Loading...

Leave a Reply