Kerajaan Indonesia sah henti bekal pembantu rumah kepada Malaysia

MULAI tahun depan, kerajaan Indonesia mengambil keputusan untuk tidak lagi membekalkan khidmat pembantu rumah ke luar negara.

Demikian dinyatakan oleh Minister Counsellor Pensosbud, Trigustono Supriyanto dari pejabat kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur kepada Sin Chew Jit Poh, semalam.

Indonesia henti bekal pembantu rumah

Indonesia henti bekal pembantu rumah

Selain Malaysia, Indonesia juga tidak akan membenarkan warganegaranya menjadi pembantu rumah di negara-negara Asia Barat dan Hong Kong.

Bagaimanapun, pembantu rumah Indonesia yang sedia ada di negara-negara asing ini masih dibenarkan untuk bekerja sekiranya khidmat mereka dilanjutkan oleh majikan masing-masing.

Jelas Trigustono kepada akhbar ini bahawa Indonesia masih bersedia membekalkan warganegaranya untuk bekerja di luar negara, namun ia hanya terhad pada pekerja-pekerja separuh mahir seperti jururawat dan pekerja kilang.

Katanya, kerajaan Indonesia memang menggalakkan warganegaranya yang bekerja di luar negara tetapi jangan terlalu memikirkan pembantu rumah sebagai pilihan utama mereka.

Naib Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa), Bayen Lok Ah Lek berkata, keputusan yang dibuat kerajaan Indonesia memberikan kesan yang amat besar terhadap seisi rumah di negara kita, terutama sekali kepada keluarga golongan kaya dan sederhana yang memerlukan khidmat pembantu rumah.

Katanya, banyak keluarga di negara kita amat memerlukan khidmat pembantu rumah untuk menguruskan kerja rumah dan jaga anak serta golongan tua. Pembantu rumah yang berasal dari Indonesia dan Filipina adalah antara paling ramai diambil oleh majikan di negara kita.

Kata Bayen lagi, memandangkan kes penganiayaan kanak-kanak semakin hari semakin banyak dilaporkan di negara kita, ramai ibu bapa tidak gemar menghantar anak-anak mereka untuk dijaga oleh pengasuh, sebaliknya pembantu rumah menjadi pilihan utama mereka.

Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama) pula menyifatkan, larangan kemasukan pembantu rumah dari Indonesia ke negara kita tidaklah memberikan kesan yang besar kerana para majikan masih dibenarkan mengambil pembantu rumah daripada beberapa negara lain seperti Filipina, Vietnam dan Kemboja.

Malahan, persatuan itu menganggap kadar bayaran untuk mengambil seseorang pembantu rumah dari Indonesia juga agak mahal, iaitu antara RM14,000 hingga RM15,000, manakala gaji bulanan yang perlu diberi kepada mereka ialah sekitar RM1,000. Jumlah ini dianggap membebankan terutama sekali bagi keluarga yang berpendapatan sederhana.

 

Sumber: Sinar Harian

Loading...

Leave a Reply