Jenazah wanita sah milik timbalan menteri

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim mengesahkan bahawa jenazah ditemui berhampiran lokasi nahas adalah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon.

Dalam posting di Facebook petang ini, Rohani mengesahkan bahawa beliau sedang berada di ibu pejabat polis negeri Sarawak, di Kuching.

“Sekarang ini saya berada di IPK Sarawak untuk menyambut jenazah adik saya YB Noriah yang merupakan mangsa pertama eksiden helikopter,” katanya.

Difahamkan, beberapa pihak sedang menguruskan kepulangan anak-anak allahyarham Noriah ke Kuching untuk urusan pengebumiannya.

Anak-anaknya diterbangkan dari Lapangan Terbang TUDM Subang ke Kuching dengan menggunakan pesawat khas milik Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Menurut catatan akaun facebook milik Anti Semua Salah Umno – ASSU, kedua-dua anak arwah bersama menantunya diterbangkan bersama-sama pasukan penyelamat.

“Dua orang anak Datuk Noriah iaitu Syafik dan Adam serta menantu, Farah Nadhirah akan bersama-sama pasukan penyelamat dalam usaha pengecaman dan sebagainya.

“Noriah Kasnon mempunyai empat orang anak, dua perempuan dan dua lelaki.

“Turut menemani mereka di Lapangan Terbang TUDM Subang adalah Datuk Noh Omar dan SUK YB Datuk Noriah iaitu Mhaimin.

“Semoga keluarga arwah terus tabah menghadapi dugaan ini, salam takziah buat keluarga arwah. semoga arwah di tempatkan di kalangan orang2 beriman. Al-Fatihah,” katanya.

Pada kejadian jam 5 petang semalam, helikopter sewa khas jenis Eurocopter AS350 Écureuil dengan nombor pendaftaran RP-C 6828, terputus hubungan dengan menara kawalan pada jam 4.32 petang dan tidak dapat dikesan.

Ini berlaku tidak lama selepas helikopter yang membawa rombongan kenamaan itu yang dalam perjalanan dari Betong ke Kuching berlepas dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Spaoh, Betong dengan lokasi terakhir dikesan di Triso, Sebuyau.

Turut menaiki helikopter tersebut ialah Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang juga adalah ahli Parlimen Kuala Kangsar, KSU kementerian berkenaan Datuk Dr Sundaran Ann Amalai serta pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri. Helikopter itu dipandu Kapten Rudolf Rex Raga.

 

Sumber: Malaysiakini

Loading...

Leave a Reply