Seramai 54,406 orang lepaskan kerakyatan Malaysia untuk jadi rakyat negara lain

Seramai 54,406 orang lepaskan kerakyatan Malaysia untuk jadi rakyat negara lain

 

PEPATAH lama ada menyebut ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri’.

Kata orang tua lebih baik di negeri sendiri dengan membawa maksud walau bagaimana indah dan kayanya negara lain, adalah lebih baik kita bersusah senang di tanah tumpah sendiri.

Masa beredar, pelbagai perubahan dirasai apatah lagi begitu banyak krisis dan cabaran berlaku mengubah perspektif manusia di zaman serba moden ini untuk memenuhi keperluan hidup yang lebih selesa dan selari dengan cita rasa mereka.

Seramai 54,406 orang lepaskan kerakyatan Malaysia untuk jadi rakyat negara lain

Seramai 54,406 orang lepaskan kerakyatan Malaysia untuk jadi rakyat negara lain

Perubahan yang diperkatakan dapat dilihat melalui penghijrahan rakyat negara ini apabila mereka memilih meneruskan kehidupan di negara-negara pilihan seperti Singapura, Australia, United Kingdom dan Kanada.

Wartawan Sinar Harian mendapatkan statistik penghijrahan rakyat dalam tempoh lima tahun, pandangan rakyat yang bermastautin di negeri orang serta pandangan pakar ekonomi dan sejarah mengenai punca sebenar mereka sanggup melepaskan kerakyatan.

SHAH ALAM – Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan melalui menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan seramai 54,406 rakyat Malaysia melepaskan kerakyatan sebagai warganegara sejak 2010 sehingga sekarang.

Dedah beliau, alasan yang diberi rakyat Malaysia yang berbuat demikian adalah kerana memperoleh kewarganegaraan negara lain.

”Berdasarkan bahagian tiga Perlembagaan Persekutuan, terdapat dua cara penamatan kewarganegaraan Malaysia, sama ada melalui tindakan pelucutan atau pelepasan.

“Untuk  rekod rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), semenjak 2010 hingga 31 Januari 2016 menunjukkan seramai 54,406 orang warganegara Malaysia membuat pelepasan kewarganegaraan, ” katanya.

Ujarnya lagi, mereka memberi alasan pelepasan kerana mereka memilih untuk tidak meneruskan menjadi warganegara Malaysia dan memperoleh kewarganegaraan negara lain.

Melalui kenyataan sama, 2011 mencatatkan jumlah paling ramai rakyat negara ini memilih melepaskan kerakyatan iaitu seramai 11,080 orang.

“Pada tahun ini sahaja seramai 1,102 rakyat Malaysia telah memilih untuk keluar daripada kewarganegaraan mereka, dengan jumlah sehingga 367 orang sebulan,” katanya.

Menurut statistik KDN, 8,076 rakyat Malaysia telah melepaskan kerakyatan mereka tahun lepas.

Pada  2014, seramai 7,843 rakyat Malaysia mengucapkan selamat tinggal kepada negara ini, 6,678 pada tahun 2013; 8,983 pada tahun 2012; 11,080 pada 2011 dan 10,644 pada 2010.

Terdapat kira-kira satu juta orang yang lahir di Malaysia tetapi menetap di luar negara sebagai ekspatriat, penduduk tetap atau sebagai rakyat di negara-negara baharu mereka.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Sharil Ridza Ridzuan berkata, ada peningkatan pengeluaran KWSP yang dikesan akibat pelepasan kewarganegaraan mengikut perangkaan KWSP berdasarkan jumlah mereka yang mengeluarkan semua simpanan utama.

Rakyat Malaysia yang melepaskan kewarganegaraan mereka meningkat 23 peratus kepada 2,206 orang pada tahun lalu berbanding 1,787 orang pada tahun 2014 melibatkan RM99 juta.

“Pada tahun lepas (2015), seramai 2,206 rakyat Malaysia mengeluarkan simpanan KWSP apabila mereka melepaskan kewarganegaraan dan meninggalkan negara ini, menyebabkan aliran wang keluar RM154.6 juta.

“Kita akui terdapat sedikit peningkatan, tetapi tiada yang drastik (dari segi pengeluaran),” katanya.

Fenomena Brain Drain, berjayakah TalentCorp?

Secara tidak langsung, tindakan menukar kerakyatan oleh mereka yang kebanyakannya merupakan golongan cerdik pandai dan berkemahiran tinggi menyumbang fenomena Brain Drain di Malaysia yang tidak berkesudahan.

Penubuhan Talent Corporation (TalentCorp) pada Januari 2011 adalah untuk menarik balik kalangan tenaga mahir yang berhijrah ke luar negara dengan harapan mereka dapat mencurah khidmat dan kepakaran masing-masing di Malaysia.

Ia merupakan susulan daripada Program Pakar (Returning Expert Program-REP) yang ditubuhkan bagi tujuan sama sebelum bidang kuasanya dipindahkan kepada TalentCorp.

Namun kemampuannya dipersoalkan apabila jumlah mereka yang pulang berbakti kepada Malaysia, masih kecil dan tanda tanya mengenai punca sebenar masalah Brain Drain di Malaysia masih tidak jelas.

Melalui laporan berkaitan yang disiarkan di Astro Awani, Talent Corp melalui Pengarah Urusannya, Johan Mahmodd Merican mengakui  warga Malaysia di luar negara tidak yakin untuk pulang menyumbang kepakaran mereka di tanah air.

Menurutnya, usaha kerajaan menawarkan pelbagai insentif dalam Program Membawa Balik Pakar (REP) masih tidak memadai untuk memujuk mereka kembali dan terkini, TalentCorp kembali dengan usaha memadankan pekerjaan sesuai kepada calon REP.

“Keadaan politik dan ekonomi negara kini menjadi antara penghalang utama bagi golongan profesional lebih terbuka untuk berkhidmat dalam negara. Program REP gagal menarik minat mereka dalam empat tahun ini.

“Berdasarkan tinjauan dan analisis, golongan ini menyahut kepada peluang pekerjaan yang sesuai. Bank Dunia turut berpendapat program REP adalah efektif dalam mencari kepakaran yang diperlukan oleh Malaysia dan kini perlu dipadankan dengan pekerjaan sesuai kepada mereka yang berada di luar negara,” katanya.

Sehubungan itu, Talent Corp terus bekerjasama dengan pihak kerajaan dan swasta untuk menawarkan pakej pekerjaan menarik bagi golongan profesional di luar negara dan segala keputusan terletak di tangan mereka. 

Kupasan isu ini mencari apakah alasan dan faktor yang menyebabkan rakyat Malaysia meninggalkan negara ini dan adakah mereka mendapat kehidupan yang lebih baik seperti yang diinginkan mereka?

Sumber : Sinar

Loading...

Leave a Reply