Kementerian Pendidikan minta pihak sekolah dan PPD selesai kes guru cekik, pijak pelajar

Kementerian Pendidikan minta pihak sekolah dan PPD selesai kes guru cekik, pijak pelajar

 

Kementerian Pendidikan meminta pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Muda menyelesaikan kes guru mencekik dan memijak seorang pelajar sebuah sekolah di Tikam Batu, Sungai Petani, secara harmoni.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kementerian mahu pihak sekolah menyelesaikan dan membuat keputusan mengenai perkara itu dan laporannya perlu diserahkan kepada kementerian untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kementerian tidak mengabaikan kes tersebut sebaliknya mahu perkara itu diselesaikan di peringkat sekolah dan PPD memandangkan kementerian mempunyai pelbagai tugas yang lebih besar dan mencabar untuk dilakukan.

Kementerian Pendidikan minta pihak sekolah dan PPD selesai kes guru cekik, pijak pelajar

Kementerian Pendidikan minta pihak sekolah dan PPD selesai kes guru cekik, pijak pelajar

“Kita mahu guru besar sekolah itu menjadi perantara bagi guru terbabit dan ibu bapa pelajar mencari jalan penyelesaian kes tersebut secara harmoni. Itu yang terbaik,” katanya pada Majlis Penyerahan Telaga Tiub di Sekolah Menengah Agama (SMA) As-Sidiqiah, Padang Kerasak di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi Rabu lepas, seorang pelajar lelaki tahun enam sebuah sekolah di Tikam Batu mendakwa dicekik, dipijak kaki dan ditampar oleh seorang guru selepas menegur pelajar itu yang dikatakan telah mengubahsuai pemegang basikal.

Sementara itu, Mahdzir yang juga anggota Parlimen Padang Terap berkata, telaga tiub yang boleh mengeluarkan air bawah tanah sebanyak 2,000 gelen bagi setiap jam dapat digunakan kira-kira 600 pelajar SMA As-Sidiqiah.

Beliau berkata, telaga tiub yang diuruskan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bernilai RM85,000 itu dapat membantu mengatasi masalah tekanan air rendah di sesetengah kawasan pedalaman.

Katanya, beliau meminta agar JMG membina tiga lagi telaga tiub dalam Parlimen Padang Terap iaitu di Kampung Pong Selatan, Kampung Sungai Long dan Bukit Tembaga yang menghadapi masalah air sebelum ini.

“Kajian JMG mendapati air bawah tanah di kawasan ini merupakan yang terbanyak di negara ini dan boleh menghasilkan 264,000 gelen dalam tempoh satu hari,” katanya.

Mahdzir berkata, pihaknya meminta pihak JMG mencari tapak yang sesuai sebelum proses pembinaan telaga tiub dapat dilakukan dalam tempoh terdekat.

Mengenai proses baik pulih bangunan SMA As-Sidiqiah yang terbakar 14 Februari lepas, Mahdzir berkata pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah berbincang dengan pihak sekolah dari segi reka bentuk mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Dalam masa terdekat kerja-kerja pembinaan bagunan yang menempatkan asrama dan surau sekolah itu akan dilaksanakan,” katanya. – Bernama

Sumber : Sinar

Loading...

Leave a Reply