Abang ugut bunuh adik kerana berebut motosikal didakwa di mahkamah

Abang ugut bunuh adik kerana berebut motosikal didakwa di mahkamah

'Aku nok pinjam meta jah, kalu tak bui aku bunuh'

‘Aku nok pinjam meta jah, kalu tak bui aku bunuh’

Seorang penganggur mengaku tidak salah di mahkamah majistret, di sini, atas dakwaan melakukan ugutan bunuh terhadap adik perempuannya gara-gara sebuah motosikal.

Tertuduh, Ahmad Sazrilin Abd Nasir, 28, didakwa melakukan ugutan terhadap Siti Suliana, 19, dengan menggunakan topi keledar di alamat Taman Hijau, Jalan Pengkalan Chepa, di sini, pada jam 5.30 petang, 30 Mac, tahun lalu.

Sebelum itu, pengadu yang baru pulang dari sekolah, tiba-tiba datang abangnya dan terus mengambil motosikal pengadu.

Ketika itu, berlaku pergelutan antara mereka hingga ibu mereka datang meleraikan keadaan.

Tertuduh bagaimanapun mengangkat topi keledar ke depan muka pengadu dan mahu memukulnya sambil berkata, “aku nok pinjam meta jah, kalu tak bui aku bunuh”.

Tertuduh kemudian mengambil motosikal pengadu dan terus pergi.

Pada prosiding itu, tertuduh mengaku bersalah, namun kemudian menukar pengakuan itu dan minta dibicarakan serta tidak mengakui fakta yang dibaca jurubahasa.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Fahrul Razi Zainal Abidin menawarkan jaminan RM5,000 sebelum peguam Nik Saiful Adli Burhan@Jaohari merayu jumlah itu dikurangkan dengan alasan kes membabitkan pergaduhan keluarga dan ibu mereka yang akan membayar jaminan itu.

Kes dijalankan di hadapan Majistret, Mohd Firdaus Zainal Abidin dan ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 Januari depan.

 

Sumber: Sinar Harian

Loading...

Leave a Reply